PETRA JAYA, 4 Oktober: Siapa sangka produk manik dari Sarawak yang dibeli pada harga sekitar RM60 mampu membuat seorang pemandu pelancong dari Belanda menyangka nilainya mencecah lebih AS$1,000 (kira-kira RM4,000).
Kisah itu dikongsikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai contoh bagaimana produk kraftangan tempatan sebenarnya mempunyai nilai dan daya tarikan tinggi di pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, produk manik berkenaan dibelinya daripada pengusaha tempatan di Lawas dan Kuching untuk dibawa sebagai cenderamata ketika menyertai misi perdagangan ke luar negara.
“Setiap kali saya ke luar negara, saya selalu bawa sebagai cenderamata produk-produk tempatan. Antaranya ialah manik. Cantik. Saya beli daripada pengusaha dari Lawas dan Kuching,” katanya ketika berucap pada Karnival Wellbest Kebajikan 2026, di sini, hari ini.
Menurut Awang Tengah, ketika berada di Belanda, beliau memberikan produk manik Sarawak itu sebagai cenderamata kepada seorang pemandu pelancong wanita sebelum pulang.
Katanya, wanita berkenaan terkejut melihat produk tersebut sebelum bertanya mengenai harganya.
“Dia terkejut dan bertanya, ‘Menteri, boleh saya tanya berapa harganya?’
“Saya beritahu dia, ini produk dari Sarawak dan saya minta dia teka berapa harganya,” katanya.
Apa yang menarik, kata Awang Tengah, wanita berkenaan menganggarkan harga produk itu tidak kurang daripada AS$1,000, jauh lebih tinggi berbanding harga sebenar yang hanya sekitar RM60.
“Dia beritahu saya, mungkin harganya tidak kurang daripada AS$1,000. Padahal saya cuma beli dalam RM60.
“Dia begitu kagum dengan produk kita, kualitinya,” katanya.
Menurut Awang Tengah, pengalaman itu menunjukkan produk tempatan Sarawak mempunyai potensi untuk dipasarkan pada nilai lebih tinggi di peringkat antarabangsa sekiranya usahawan memberi perhatian terhadap aspek kualiti, reka bentuk dan pematuhan piawaian pasaran.
Beliau berkata, pasaran antarabangsa tidak semestinya melihat harga semata-mata, sebaliknya sanggup membayar lebih bagi produk yang mempunyai kualiti baik dan memenuhi piawaian ditetapkan.
Katanya, usahawan tempatan perlu keluar daripada pemikiran bahawa produk mereka hanya sesuai dipasarkan di Sarawak atau pasaran tempatan, sebaliknya berani meneroka pasaran yang lebih luas.
“Yang penting, kita harus tingkatkan kualiti produk kita, tingkatkan kualiti perkhidmatan kita. Sekarang mereka tidak kisah untuk membayar lebih di pasaran antarabangsa, asalkan kualiti kita bagus dan mematuhi piawaian yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak melalui misi perdagangan turut berusaha membawa pengusaha kecil dan sederhana tempatan untuk memperkenalkan produk mereka di pasaran luar, meliputi kraftangan, makanan, minuman dan fesyen.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membuka peluang kepada produk tempatan supaya bukan sekadar dikenali di peringkat domestik, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.




