Bangunan RM90 juta bakal jadi ‘rumah’ baharu DUBS

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika berucap pada Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di Hotel Pullman.

KUCHING, 4 Oktober: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) bakal mempunyai bangunan sendiri bernilai RM90 juta berhampiran Dewan Perniagaan dan Perdagangan Dayak (DCCI), hasil bantuan kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bangunan berkenaan akan menjadi milik DUBS serta mencerminkan kualiti dan bidang perniagaan yang diceburi pertubuhan itu.

“Kerajaan Sarawak memberikan bantuan kepada kamu untuk mempunyai bangunan itu berhampiran DCCI. Itu bangunan kamu, mencerminkan kualiti kamu dan perniagaan yang kamu ceburi,” katanya ketika berucap pada Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 DUBS.

Projek pembangunan bercampur bernilai RM90 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas 1.39 ekar di Jalan Ong Tiang Swee selepas tanah berkenaan dianugerahkan kepada DUBS oleh Kerajaan Sarawak pada 2021.

Penyerahan tapak kepada kontraktor, Musyati Sdn Bhd, sebelum ini diadakan pada 15 November 2024, menandakan permulaan pelaksanaan projek berkenaan.

ILUSTRASI reka bentuk bangunan baharu Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching.

Pembangunan itu merangkumi dua blok tujuh tingkat dengan satu tingkat bawah tanah yang dihubungkan menerusi jambatan penghubung pada tiga aras teratas.

Ia turut menyediakan 87 unit ruang pejabat komersial, termasuk pejabat korporat DUBS dan pusat sumber serbaguna, selain 11 lot perniagaan runcit di tingkat bawah.

Kemudahan parkir pula merangkumi ruang untuk 185 kenderaan dan 72 motosikal di kawasan bawah tanah serta aras kedua.

Projek berkenaan dirangka sebagai hab pertumbuhan perniagaan bagi usahawan Bumiputera di Sarawak, selain menjadi bangunan rasmi baharu DUBS.

Pembinaannya dibiayai menerusi gabungan geran Kerajaan Sarawak serta pembiayaan dalaman dan luaran DUBS, dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.

Oleh Afiq Sallehi