Jejak gas dari Sabah ke perairan Lundu buka potensi tenaga baharu Sarawak – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap mengenai jejak gas yang dikenal pasti dalam aktiviti penerokaan minyak dan gas, pada Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 DUBS di sebuah hotel terkemuka di Kuching.

KUCHING, 5 Oktober: Sarawak sedang meneroka potensi sumber gas di sepanjang jajaran geologi dari Kimanis, Sabah hingga ke perairan Lundu, yang dilihat mampu membuka peluang baharu dalam industri tenaga.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata berdasarkan kajian terhadap geologi kawasan berkenaan, jajaran tersebut merentasi Brunei, Baram, Mukah dan Balingian sebelum menghala ke Batang Lupar serta perairan Lundu.

Beliau berkata, terdapat tanda-tanda kewujudan gas di kawasan berkenaan yang wajar diterokai bagi mengenal pasti potensinya.

“Saya berkongsi dengan orang Mukah, kalau kita kaji geologi pantai kita, minyak ada di Kimanis, Sabah, menurun ke Brunei, menurun ke Baram, menurun ke Mukah dan menurun ke Balingian sekarang ini.

“Kalau kita kaji bumi di kawasan tersebut, geologinya ia menurun sampai ke muara Batang Lupar hingga ke perairan Lundu dan sudah ada tanda-tanda ada gas di sana,” katanya ketika berucap pada Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di Kuching, malam tadi.

Abang Johari berkata, potensi berkenaan perlu diterokai Sarawak bagi memastikan sumber tenaga yang ada dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi.

“Maknanya, kita teroka itu. Kerana dari sana ia pergi ke Natuna, Natuna hingga ke Timor-Leste. Itu geologinya,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) juga berkait dengan usaha Sarawak untuk meneroka dan mengurus potensi sumber minyak dan gasnya.

“Jadi sebab itu kita tubuhkan Petros. Jangan kita tengok sahaja orang lain ambil. Kita tubuhkan Petros,” katanya.

Menurutnya, Petros kini bekerjasama dengan pihak dari Norway dalam usaha membangunkan sektor tenaga, termasuk pembangunan kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung di Kuching sebagai sebahagian daripada hab rendah karbon.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak turut meneroka pembangunan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di luar pesisir Mukah dan Balingian.

Katanya, pembangunan CCS berkenaan boleh menjadi sebahagian daripada pendekatan Sarawak untuk mengembangkan industri tenaga sambil memberi perhatian kepada aspek pelepasan karbon.

Beliau berkata, perkembangan industri minyak dan gas serta teknologi berkaitan tenaga perlu dilihat bersama dengan pembangunan sektor tenaga baharu di Sarawak.

Menurutnya, Sarawak turut mempunyai kelebihan dalam sumber tenaga hidro, hidrogen, biojisim dan solar.

Beliau berkata, Sarawak menyasarkan kapasiti tenaga sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035.

“Bila kita ada tenaga, kita boleh tarik pelaburan. Pelaburan akan datang kerana tenaga ada dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Abang Johari berkata, kemasukan pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi juga berpotensi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian nilai industri.

Beliau berkata, peluang berkenaan perlu dilihat oleh usahawan tempatan termasuk anggota DUBS yang perlu menyesuaikan perniagaan dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.

“DUBS boleh melihat potensi-potensi ini, jadi kita groom satu perniagaan baharu untuk orang DUBS,” katanya.

Katanya, usahawan perlu memahami teknologi, mengenal pasti perkara yang boleh ditawarkan dan meletakkan perniagaan masing-masing dalam pasaran yang sedang berkembang.

“Kamu perlu meneroka, perlu tahu teknologi, perlu melihat apa yang boleh ditawarkan dan meletakkan diri dalam pasaran yang sedang berkembang,” katanya.

Abang Johari berkata, pendekatan itu selari dengan perubahan ekonomi Sarawak yang kini memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi, termasuk industri hiliran, teknologi dan tenaga rendah karbon.

Katanya, usaha memperluas sektor tenaga dan industri berkaitan juga perlu disertai pembangunan tenaga manusia supaya peluang pekerjaan dan perniagaan dapat dinikmati oleh masyarakat tempatan.

Oleh Afiq Sallehi