BETONG, 4 Oktober: Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) terus memainkan peranan penting sebagai platform memperkasa industri muzik Iban, selain membuka ruang lebih luas kepada bakat tempatan untuk membina kerjaya dalam sektor industri kreatif.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata ACSJ bukan sekadar pentas mengiktiraf karya dan bakat penyanyi Iban, malah menjadi wadah penting dalam membangunkan ekosistem muzik yang mampu memberi manfaat dari sudut seni, budaya dan ekonomi.
Menurutnya, perkembangan industri muzik perlu dilihat melangkaui aspek hiburan kerana sektor berkenaan turut menyediakan peluang pekerjaan, keusahawanan dan sumber pendapatan kepada pelbagai golongan, khususnya generasi muda.

“Di sebalik sesebuah lagu terdapat satu rantaian nilai yang lebih luas, daripada pencipta lagu, penyanyi dan pemuzik, kepada penerbit, jurutera audio, penghasil kandungan, pereka grafik, pengurus artis, penganjur acara dan pelbagai lagi bidang sokongan.
“Kesemuanya mempunyai potensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan, keusahawanan dan sumber pendapatan, khususnya kepada golongan muda,” katanya dalam perutusan sempena penganjuran ACSJ Ke-9 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, malam tadi.
Uggah yang juga Penaung Utama ACSJ berkata, kemajuan teknologi digital kini turut memberi peluang lebih besar kepada karya muzik tempatan untuk menembusi pasaran di luar Sarawak.
Katanya, penggunaan media sosial dan perkhidmatan penstriman membolehkan muzik Iban diperkenalkan kepada pendengar bukan sahaja di seluruh Sarawak dan Malaysia, malah berpotensi mencapai khalayak antarabangsa.
“Perkembangan ini wajar dimanfaatkan untuk menjadikan muzik Iban bukan sahaja sebagai khazanah budaya, tetapi juga sebagai produk kreatif yang mempunyai nilai pasaran,” katanya.
Beliau berkata, tema ACSJ Ke-9, ‘Ngelatika Industri Muzik Iban’ yang membawa maksud memartabatkan industri muzik Iban, memperlihatkan usaha membina ekosistem lebih menyeluruh bagi memastikan bakat dapat berkembang, karya dipasarkan dan profesional industri diwujudkan.
Menurutnya, ekosistem sedemikian penting supaya nilai ekonomi yang terhasil daripada industri muzik dapat dikembalikan kepada penggiat seni dan komuniti.
Uggah berkata, Sarawak mempunyai asas kukuh untuk membangunkan industri kreatif berteraskan identiti serta kekayaan budaya tempatan.
“Bahasa, adat, muzik dan cerita masyarakat kita merupakan aset yang tidak ternilai. Jika diurus, diperkasa dan dipasarkan dengan pendekatan yang betul, aset budaya ini mampu menjadi sumber kekuatan ekonomi baharu tanpa mengorbankan keaslian identiti kita,” katanya.
Dalam konteks masyarakat Iban, beliau berkata muzik mempunyai kedudukan istimewa kerana berkait rapat dengan bahasa, sejarah, adat resam dan kehidupan masyarakat.
Justeru, katanya, usaha mengembangkan industri muzik Iban bukan sahaja penting dalam memelihara warisan budaya, malah merupakan satu bentuk pelaburan untuk membuka peluang ekonomi kepada generasi masa kini dan akan datang.
Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), khususnya WAIfm Iban, kerana terus menyediakan ruang kepada karya dan bakat muzik Iban menerusi penganjuran ACSJ.
Katanya, kesinambungan penganjuran sehingga edisi kesembilan membuktikan komitmen dan ketekunan semua pihak dalam memastikan muzik Iban terus berkembang serta mendapat tempat dalam industri kreatif.
“Sembilan edisi bukanlah satu tempoh yang singkat. Ia merupakan bukti komitmen, ketekunan dan kepercayaan terhadap masa depan muzik Iban sehingga ACSJ kini menjadi pentas yang dinanti-nantikan oleh penggiat muzik Iban setiap tahun dan menjadi mercu tanda industri muzik Iban,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha mengangkat karya anak tempatan bukan sahaja penting untuk memelihara warisan budaya, malah mampu mencipta peluang, membina ekonomi serta menjadi pelaburan penting terhadap masa depan generasi akan datang.
Dalam pada itu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas telah mewakili Uggah hadir menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang.
Oleh Adi Safarman




