Juruterbang, kru kabin perlu berada dalam keadaan sesuai sebelum terbang

Facebook
WhatsApp

SEBELUM memulakan penerbangan, juruterbang wajib memastikan pesawat yang akan digunakan berada dalam keadaan selamat. Pemeriksaan menyeluruh mesti dilakukan terhadap keadaan pesawat, bahan api, sistem penerbangan dan beberapa perkara lain yang diperlukan sebelum pesawat dibenarkan berlepas.

Selain pemeriksaan keadaan pesawat, juruterbang dan kru kabin juga perlu memenuhi beberapa syarat sebelum dibenarkan menjalankan tugas masing-masing. Juruterbang misalnya, wajib memiliki lesen yang sah termasuk permit kelayakan menerbangkan jenis pesawat berkenaan dan sijil perubatan yang masih berkuat kuasa.

Kelayakan tersebut tidak bermaksud seseorang itu sentiasa sesuai untuk bertugas pada setiap hari sepanjang tempoh sijil perubatannya masih sah. Oleh itu, pemeriksaan kesihatan berkala ditetapkan bagi memastikan setiap juruterbang memenuhi tahap kesihatan yang selayaknya sebelum dibenarkan bertugas.

Hal ini kerana keadaan diri juruterbang pada hari penerbangan boleh berubah. Juruterbang yang mengalami keletihan, kekurangan tidur, kurang sihat atau berada di bawah pengaruh bahan tertentu mungkin tidak mempunyai kemampuan yang sama seperti ketika berada dalam keadaan sihat dan mendapat rehat yang mencukupi.

Dalam istilah penerbangan, keadaan seseorang yang sesuai untuk menjalankan tugas ini dikenali sebagai ‘fitness for duty.’ Keadaan ini bermakna, seseorang bukan sahaja perlu mempunyai kelayakan untuk menjalankan tugas, tetapi juga berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sesuai ketika dijadualkan untuk bertugas.

Istilah ‘fitness for duty’ sebenarnya lebih luas iaitu merangkumi apa sahaja keadaan yang boleh menjejaskan kemampuan seseorang menjalankan tugas dengan selamat dan perlu diberikan perhatian termasuklah penggunaan alkohol atau dadah.

Di Malaysia, perkara yang berkaitan pengambilan alkohol dan dadah dalam kalangan petugas penerbangan bukan perkara baharu. Hal ini dinyatakan dalam Civil Aviation Directive 6007 (CAD 6007) yang mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2021 bagi menggantikan arahan terdahulu mengenai ujian alkohol dan dadah yang dikeluarkan pada 2018.

CAD 6007 menetapkan keperluan program ujian alkohol dan dadah yang perlu dilaksanakan oleh pengendali penerbangan. Melalui program tersebut, pengendali perlu menguruskan pemeriksaan alkohol dan dadah terhadap kru mereka selain menyediakan pendidikan dan bantuan kepada individu yang menghadapi masalah berkaitan penggunaan bahan berkenaan.

Pada 7 Ogos 2026, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kemudian mengeluarkan Safety Directive 02/2026 iaitu Strengthening Fitness-for-Duty and Prevention of Alcohol and Drug Misuse. Arahan ini memperkenalkan beberapa tindakan tambahan yang perlu dilaksanakan oleh pengendali dalam tempoh 30 hari daripada tarikh ia berkuat kuasa.

Antaranya tindakan segera yang perlu dilakukan ialah saringan dadah terhadap 100 peratus kru penerbangan dan kru kabin yang aktif. Namun saringan ini tidak dilakukan sekali gus pada satu-satu masa kerana jadual kerja kru berbeza-beza, tidak semua berada di pangkalan pada masa yang sama.

Ujian alkohol, dadah

Ada yang sedang bertugas, bercuti atau berada di luar stesen. Oleh itu, kru yang belum menjalani saringan perlu diperiksa apabila kembali atau sebelum mereka memulakan semula tugas operasi.

Selain saringan menyeluruh itu, ujian alkohol dan dadah secara rawak juga perlu dipertingkatkan. Ujian rawak tidak bermaksud seseorang kru disyaki mengambil alkohol atau dadah.

Mereka boleh dipilih untuk menjalani pemeriksaan tanpa mempunyai sebarang petunjuk melakukan kesalahan.

Keadaan berbeza jika terdapat sebab munasabah untuk mengesyaki seseorang petugas mungkin mengalami gangguan yang menjejaskan kemampuannya menjalankan tugas.

Perubahan pada tingkah laku, keadaan fizikal atau cara seseorang menjalankan tugas boleh menjadi antara petunjuk yang diperhatikan. Jika terdapat petunjuk seperti ini, ujian boleh dilakukan dengan segera.

Namun perubahan seperti itu tidak semestinya berpunca daripada alkohol atau dadah. Keletihan, masalah kesihatan atau kesan ubat yang diambil juga boleh menyebabkan perubahan terhadap keadaan seseorang.

Oleh sebab itu, pemeriksaan tidak boleh hanya bergantung kepada apa yang dilihat pada seseorang.

Pengendali juga perlu mengambil kira keadaan operasi mereka sendiri. Penerbangan malam, tempoh bertugas yang panjang, operasi ketika cuti umum dan persekitaran tertentu boleh diberikan perhatian lebih berdasarkan risiko yang dikenal pasti.

CAAM turut meminta proses pengambilan pekerja, pemeriksaan latar belakang dan saringan berkala terhadap petugas yang mempunyai pas keselamatan disemak semula.

Selepas melaksanakan arahan tersebut, pengendali perlu mengemukakan pengisytiharan pematuhan kepada CAAM. Perkara ini termasuk hasil program saringan menyeluruh, ringkasan ujian rawak yang dilakukan dan tindakan pembetulan terhadap sebarang penemuan.

Gangguan

Pengambilan alkohol boleh mengganggu pertimbangan dan koordinasi pergerakan seseorang. Masa yang diperlukan untuk memberikan tindak balas terhadap sesuatu keadaan juga boleh menjadi lebih lambat.

Kesannya tidak semestinya hilang hanya kerana seseorang sudah tidak merasakan dirinya mabuk.

Begitu juga penggunaan dadah atau penyalahgunaan bahan tertentu yang boleh menyebabkan gangguan tumpuan, perubahan tingkah laku atau rasa mengantuk.

Dalam SD 02/2026, perhatian terhadap bahan yang boleh menyebabkan gangguan tidak terhad kepada dadah terlarang. Ubat preskripsi atau ubat biasa juga boleh memberikan kesan terhadap kemampuan seseorang menjalankan tugas dengan selamat.

Sesetengah ubat untuk penyakit biasa seperti selesema misalnya boleh menyebabkan rasa mengantuk. Kru perlu memberi perhatian kepada kesan tersebut kerana seseorang mungkin berasa cukup sihat untuk bekerja tetapi masih mengalami kesan daripada ubat yang diambil.

Perkara seperti ini penting kepada juruterbang kerana mereka mengendalikan pesawat menggunakan pelbagai maklumat yang diterima daripada instrumen penerbangan.

Ketika berlepas misalnya, juruterbang perlu memantau kelajuan, keadaan enjin dan pergerakan pesawat sambil mendengar arahan yang diterima melalui komunikasi radio.

Sekiranya berlaku kerosakan enjin ketika pesawat sedang memecut, juruterbang perlu menentukan sama ada penerbangan boleh dibatalkan atau perlu diteruskan berdasarkan kelajuan yang telah dicapai. Keputusan seperti ini kadangkala perlu dibuat dalam masa beberapa saat sahaja.

Semasa penerbangan pula, juruterbang perlu sentiasa mengetahui kedudukan dan keadaan pesawat selain mengikuti arahan daripada kawalan trafik udara.

Jika cuaca di lapangan terbang destinasi berubah, juruterbang mungkin perlu menangguhkan pendaratan atau menuju ke lapangan terbang lain. Maklumat cuaca, bahan api dan keadaan pesawat akan dinilai sebelum tindakan dibuat.

Kecemasan

Kru kabin juga mempunyai tugas yang memerlukan mereka berada dalam keadaan bersedia sepanjang penerbangan. Kerja mereka sudah bermula sebelum penumpang dibenarkan masuk ke dalam pesawat.

Peralatan keselamatan diperiksa dan taklimat penerbangan diberikan sebelum kru mengambil tempat masing-masing.

Malah, kru kabin bukan hanya menguruskan penumpang sepanjang penerbangan. Mereka juga dilatih menghadapi kecemasan dan membantu penumpang keluar daripada pesawat jika diperlukan.

Dalam keadaan tertentu, kru kabin mungkin perlu membuka pintu kecemasan dan mengarahkan penumpang keluar ketika kabin dipenuhi asap atau penumpang berada dalam keadaan panik.

Tugas seperti ini memerlukan kru memahami keadaan di sekeliling dan bertindak dengan cepat berdasarkan latihan yang telah diberikan. Pemeriksaan alkohol dan dadah pula perlu dijalankan mengikut kaedah yang ditetapkan.

Bagi ujian dadah, keputusan saringan awal yang menunjukkan non-negative belum bermaksud seseorang disahkan positif. Sampel tersebut perlu melalui ujian pengesahan sebelum keputusan akhir ditentukan.

Proses ini penting kerana tindakan terhadap seseorang tidak sepatutnya hanya berdasarkan keputusan saringan awal. Peraturan mengenai alkohol dan dadah dalam penerbangan juga bukan hanya berkaitan pemeriksaan dan tindakan terhadap kru.

CAD 6007 menyediakan ruang untuk intervensi perubatan, pemulihan dan sokongan kepada individu yang menghadapi masalah berkaitan alkohol atau dadah. SD 02/2026 pula meneruskan pendekatan tersebut dengan meminta pengendali memperkukuh program bantuan pekerja, kaunseling, pemulihan dan saluran pelaporan sulit.

Arahan itu turut menyebut pendekatan Just Culture, iaitu keadaan yang membolehkan masalah keselamatan dilaporkan dan ditangani tanpa menghapuskan pertanggungjawaban terhadap pelanggaran yang dilakukan dengan sengaja.

Pendekatan seperti ini penting kerana masalah yang dikenal pasti lebih awal boleh ditangani sebelum memberikan kesan kepada keselamatan penerbangan. Pada masa sama, pengendali tetap perlu mengambil tindakan terhadap pelanggaran yang berlaku dan memastikan program yang diwujudkan benar-benar dilaksanakan.

CAAM pula akan memantau pelaksanaan SD 02/2026 melalui pengawasan berdasarkan risiko, pemeriksaan mengejut, audit khusus dan semakan terhadap rekod ujian.

Jika terdapat kebimbangan terhadap sesuatu operasi, pengendali juga boleh diarahkan menjalankan pemeriksaan tambahan.

Sebagaimana pesawat yang perlu diperiksa sebelum digunakan, juruterbang dan kru kabin juga perlu berada dalam keadaan yang sesuai sebelum menjalankan tugas.

Sebagai penumpang, kebanyakan proses ini tidak pernah kita lihat kerana ia berlaku sebelum penerbangan bermula. Ketika kita menaiki pesawat, juruterbang dan kru kabin yang bertugas sepatutnya sudah berada dalam keadaan yang membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing sepanjang penerbangan hingga ke destinasi.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.