KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana selama 14 hari di Kampung Bintawa di sini mulai hari ini hingga 29 Mac ini, demikian menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
JPBNS menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan kes positif Covid-19 di kampung tersebut semakin meningkat dengan Daerah Kuching merekodkan sebanyak 22 jangkitan baharu semalam.
Kenyataan itu menyebut JPBNS juga telah memutuskan untuk membuka pengoperasian Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuching, Sibu dan Miri mulai 17 Mac ini mengikut waktu pejabat iaitu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Semalam, sebanyak 251 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 12,702 dengan satu kematian yang menyaksikan angka korban akibat wabak itu setakat ini ialah 91 orang.
“Kes kematian ke-91 melibatkan wanita warga tempatan berumur 64 tahun yang telah mendapat rawatan di Hospital Kapit dan didapati bergejala Covid-19 iaitu demam dan batuk. Saringan ujian rT-PCR Covid-19 telah didapati positif pada 25 Februari lalu.
“Kes telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan selanjutnya namun keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Mac selain mempunyai komorbiditi iaitu penyakit buah pinggang kronik, darah tinggi dan gout,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan yang sama memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan Kluster Tabong di Daerah Bau ditamatkan setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari dari tarikh terakhir kes positif Covid-19 dikesan.
“Terdapat satu lagi kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Jalan Tanjung yang merupakan kluster tempat kerja yang telah dikesan di sebuah pasar raya di Jalan Tanjung, Kidurong di Bintulu.
“Indeks kes merupakan seorang wanita warga tempatan berumur 27 tahun yang juga pekerja di pasar raya tersebut yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 13 Mac di Klinik Kesihatan Bintulu,” menurut kenyataan itu. -Bernama