KOTA SAMARAHAN: Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang ditawarkan untuk Sarawak dan Sabah perlu ada kuasa.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof berkata ini juga bagi membolehkan pemegang jawatan itu memastikan hak-hak negeri Sarawak dikembalikan.
“Perkara ini perlu dititikberatkan kerana Sarawak dan Sabah masih ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur berbanding Semenanjung.
“Apa yang penting buat masa ini adalah kita wujudkan kerajaan yang stabil di negara kita.
“Wujudnya jawatan TPM, bukannya menyelesaikan apa sahaja masalah, tetapi dari sudut Sarawak kita mahu hak kita dikembalikan dan bukannya sekadar jawatan.
“Kewujudan jawatan TPM juga perlu memenuhi keperluan setiap negeri khususnya di Sarawak dan Sabah”, katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di UNIMAS, hari ini.
Baru-baru ini, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menawarkan jawatan TPM untuk Sarawak dan Sabah jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut menekankan bahawa perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diteruskan dalam kerajaan baharu kelak.
“Kita sudah berjaya pada peringkat awal dengan pindaan perlembagaan dan perjanjian MA63 telah diiktiraf oleh perlembagaan termasuk di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) itu sendiri.
“Jadi, strategi kita sekarang adalah untuk memastikan siapa-siapa sahaja yang mewujudkan Kerajaan Persekutuan mesti merealisasikan apa yang termaktub dalam laporan IGC termasuk kuasa pentadbiran autonomi kepada Sarawak”, katanya.