BERLIN: Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Tischler Reisen AG pada Pertukaran Pelancongan Antarabangsa (ITB) Berlin 2023 di Pavilion Sarawak.
Pemeteraian MoU pada hari pertama ini sebagai usaha kerjasama untuk meningkatkan keterlihatan Sarawak ke arah menjadi destinasi pilihan di kalangan rakyat Jerman dan pasaran sekitar Eropah.
Sekitar 600 agensi di Jerman, secara luar dan dalam talian bersama agensi pelancongan terbaik akan mencerminkan keindahan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata di ITB Berlin 2023, 7 – 9 Mac, pengunjung boleh mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran pelancongan di Sarawak.
“Tawaran pelancongan di Sarawak di Dewan A Pavilion Sarawak, Stand 220A, mempamerkan destinasi yang kaya dengan pelbagai budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan yang disambut di Sarawak, sudah semestinya berbeza dari tempat lain.
“Kami berbangga kerana rakan kongsi strategik berdiri bersama kami dalam menjadikan Sarawak menonjol di dunia di ITB Berlin tahun ini.
“Kami amat bertuah kerana mendapat sokongan Authentic Borneo Tours, Borneo Adventure, Business Events Sarawak (Sarawak Convention Bureau), CPH Travel Agencies (Sarawak), Greatown Travel, Happy Trails Borneo Tours, Hemisfera Hospitaliti, Paradesa Borneo, Smart Leisure & Travels dan Tropical Adventure untuk bekerjasama meningkatkan keterlihatan Sarawak di tapak global,” katanya dalam satu kenyataan.
Sorotan penyertaan hari pertama Sarawak dalam pameran itu ialah pelancaran video destinasi baharunya, ‘Sarawak…Now More Than Ever’ dan persembahan video mengenai produk pengembaraan Sarawak seperti aktiviti berbasikal, pendakian dan gua serta promosi Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2023.
Sarawak turut kembali dengan persembahan yang mantap di ITB Berlin 2023 di Pavilion Sarawak, menterampilkan kewujudan Sarawak dalam pasaran Eropah sebagai ekopelancongan terkemuka dan pilihan destinasi di rantau ASEAN.
Untuk rekod, Pavilion Sarawak di Lalaport Bukit Bintang City Centre (BBCC), Kuala Lumpur yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mengetengah pemasaran produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Sarawak sebagai pemacu pelancongan ke negeri ini.