KUCHING: Polis telah berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan di sekitar daerah Kuching selepas menahan dua lelaki warga tempatan dalam serbuan berasingan menerusi Ops Lejang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata tangkapan pertama yang telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang diketuai oleh Inspektor Muhamad Rizal, di Jalan Tunku Abdul Rahman sekitar jam 12.15 pagi.
Manakala, tangkapan kedua pula telah dilakukan di Kampung Stutong Baru sekitar jam 1 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya menangkap kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 35 dan 44 tahun di dua lokasi berasingan.
“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kedua-dua suspek terlibat dalam beberapa siri kes curi kenderaan di bandaraya ini dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media semalam.
Awang Din berkata, selain itu polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Kelisa milik salah seorang suspek, lima batang kunci kenderaan dan pelbagai peralatan mencuri kenderaan.
“Modus operandi sindiket ini menggunakan kunci induk (master key) atau umpil lubang kunci untuk membuka pintu kenderaan.
Kedua-dua suspek ditahan di IPD Kuching untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, suspekk boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan juga dikenakan denda.
“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai lebih daripada sepuluh rekod jenayah lampau harta benda dan kes dadah, kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Awang Din pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tampil membuat laporan jika mempunyai maklumat berkenaan sebarang kes jenayah yang berlaku dikawasan sekitar Kuching.
“Polis memberi amaran tidak akan membiarkan sebarang kegiatan jenayah berlaku dan akan mengambil tindakan agresif ke atas mereka yang terlibat dalam segala bentuk kesalahan jenayah,” tegasnya.
Oleh Connie Chieng