Sarawak perkasa pembangunan pedalaman, Telang Usan dan Mulu terus diberi perhatian

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Kedaya Telang Usan yang diketuai Temenggong Joseph Ngau Lian di Kompleks DUN Sarawak. Foto Douglas Uggah Embas Official

PETRA JAYA, 15 Oktober: Kerajaan Sarawak terus komited mempergiat pembangunan kawasan pedalaman, khususnya Telang Usan dan Mulu, bagi memastikan masyarakat setempat menikmati kemudahan asas yang lebih baik serta peluang pembangunan yang seimbang.

Komitmen itu ditegaskan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Kedaya Telang Usan yang diketuai Temenggong Joseph Ngau Lian, Ketua Masyarakat Kaum Kenyah Bahagian Miri merangkap pengerusi jawatankuasa berkenaan, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Pertemuan itu berlangsung sempena hari keempat Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak.

Uggah berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada keperluan penduduk di kawasan pedalaman, termasuk memperkukuh penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat.

“Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian kepada pembangunan kawasan pedalaman, termasuk Telang Usan dan Mulu, bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas serta peluang pembangunan yang lebih baik.

“Pada masa yang sama, kita mahu masyarakat memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan, demi membangunkan modal insan Sarawak,” katanya.

Dalam pertemuan itu, rombongan berkenaan turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kedaya Telang Usan, khususnya usaha menaik taraf jalan raya bagi meningkatkan hubungan antara penempatan pedalaman.

Penghargaan turut diberikan terhadap usaha Uggah menerusi XPDC 1.0 Bario pada 2025, apabila beliau bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menempuh perjalanan darat sejauh 375 kilometer dari Miri ke Bario bagi meninjau sendiri keadaan jalan bekas pembalakan di Ulu Baram.

Lawatan lapangan itu menyumbang kepada usaha mengambil alih dan mewartakan jalan bekas pembalakan sebagai jalan negeri, sekali gus membolehkan kerja penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih teratur serta meningkatkan aksesibiliti dan keselamatan pengguna.

Kedaya Telang Usan merangkumi 27 rumah panjang dan kampung yang terus menerima manfaat daripada pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar.

Kesemua penempatan berkenaan menerima bekalan elektrik selama 14 jam sehari menerusi Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES), manakala hampir semua turut menikmati kemudahan komunikasi melalui perkhidmatan telefon dan internet.

Dalam aspek infrastruktur jalan raya, laluan bekas pembalakan yang menghubungkan 15 daripada 27 penempatan, termasuk jambatan berkaitan, telah dinaik taraf menerusi projek Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan JKR Sarawak.

Sementara itu, sebuah projek bekalan air bersih telah siap dilaksanakan, manakala dua lagi projek masih dalam pembinaan oleh HDA bagi memperluas akses penduduk kepada bekalan air bersih.

Usaha berterusan itu memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan pedalaman, selain memastikan masyarakat di kawasan terpencil tidak ketinggalan dalam menikmati kemajuan negeri.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.

Oleh Adi Safarman