DUN: RM87 juta tangani banjir di Skim Penempatan Semula Stampin

Facebook
WhatsApp
YAP Yau Sin (GPS- Kota Sentosa) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN Sarawak Ke-19. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 15 Oktober: Projek tebatan banjir bernilai RM87 juta di Skim Penempatan Semula Stampin melibatkan lebih 1,000 isi rumah yang berdepan masalah banjir kilat berulang.

Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) berkata, beliau menghargai peruntukan projek berkenaan serta kepakaran teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 95 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM15.18 juta telah siap dilaksanakan di Kota Sentosa, manakala 36 projek lagi bernilai RM9.82 juta masih berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan Sarawak memperkenalkan geran digital atau menyediakan bantuan teknikal kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi membantu peniaga menghadapi pelaksanaan sistem e-Invois.

Menurutnya, kos penyepaduan sistem, perisian perakaunan digital dan pengurusan pentadbiran boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan peniaga tempatan.

Selain itu, beliau mencadangkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman Sarawak bagi memastikan rakyat Sarawak daripada pelbagai komuniti mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan.

Beliau turut mencadangkan laluan status penduduk tetap (PR) strategik Sarawak bagi menarik tenaga profesional, penyelidik dan inovator berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang hidrogen hijau, kecerdasan buatan, aeroangkasa dan bioteknologi.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud