830 benih ikan baung dilepaskan di Sungai Sap, Tatau

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 830 ekor benih ikan baung telah dilepaskan ke perairan Sungai Sap, Tatau. Foto: Jabatan Pertanian Sarawak

TATAU, 15 Oktober: Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu terus memperkukuh komitmennya dalam memelihara kelestarian ekosistem sungai menerusi Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum yang diadakan di Sungai Sap, Tatau, baru-baru ini.

Sebanyak 830 ekor benih ikan baung telah dilepaskan ke perairan Sungai Sap sebagai langkah menambah stok ikan, memulihara sumber perikanan serta memastikan khazanah alam semula jadi itu terus terpelihara untuk manfaat generasi akan datang.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Jackson Nanta, dengan kehadiran kakitangan Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu serta pemimpin masyarakat setempat termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan berkenaan.

Dalam ucapannya, Jackson menegaskan bahawa sungai bukan sahaja menjadi sumber makanan dan pendapatan kepada masyarakat setempat, malah memainkan peranan penting dalam kehidupan harian penduduk.

“Justeru, tanggungjawab menjaga kebersihan sungai serta melindungi hidupan akuatik perlu dipikul secara bersama oleh semua pihak,” katanya.

Selain aktiviti pelepasan benih ikan, program itu turut diisi dengan taklimat kesedaran berkaitan penangkapan ikan secara terlarang. Sesi tersebut memberi penerangan mengenai penguatkuasaan serta peruntukan di bawah Ordinan Perikanan Negeri 2003.

Masyarakat turut diingatkan supaya mengelakkan penggunaan kaedah penangkapan ikan yang merosakkan ekosistem seperti penggunaan tuba atau racun, bahan letupan dan renjatan elektrik, selain mematuhi peraturan perikanan yang dikuatkuasakan.

Menurut beliau, pemeliharaan sungai yang berterusan bukan sahaja dapat menjamin kelestarian sumber perikanan, malah memastikan kesejahteraan generasi masa depan.

“Marilah kita bersama-sama menjaga kelestarian sungai demi memastikan sumber semula jadi terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” tambahnya.

Oleh Adi Safarman