PETRA JAYA, 15 Oktober: Kerajaan Sarawak digesa mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah lagi hospital awam di Bintulu bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk yang semakin meningkat seiring perkembangan pesat kawasan itu.

Johnny Pang Leong Ming (GPS-Tanjong Batu) berkata, Hospital Bintulu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kepada penduduk bandar itu, malah turut menerima pesakit dari kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, pertambahan penduduk dan peningkatan permintaan terhadap rawatan perubatan menjadikan perancangan kapasiti kesihatan jangka panjang di Bintulu semakin penting.
Sehubungan itu, beliau memohon penjelasan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai sama ada kerajaan Sarawak bercadang mengemukakan cadangan pembinaan hospital awam kedua di Bintulu kepada Kerajaan Persekutuan.
“Saya menyedari bahawa hospital awam terletak terutamanya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Namun demikian, saya berharap cadangan ini dapat menerima sokongan dan pertimbangan kerajaan Sarawak melalui saluran Persekutuan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, di sini.
Dalam pada itu, Pang turut menyuarakan keperluan menaik taraf Jalan Tanjong Batu kepada jalan berkembar enam lorong bagi menampung pertambahan trafik susulan pembangunan kawasan kediaman dan komersial.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kajian impak trafik dan kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan sekiranya belum terdapat perancangan untuk menaik taraf jalan berkenaan.
“Saya percaya adalah lebih baik kita menyediakan infrastruktur lebih awal sebelum pembangunan berlaku, daripada menunggu sehingga kesesakan trafik menjadi masalah serius,” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta perhatian diberikan kepada isu tekanan air rendah dan air keruh yang masih dialami sesetengah kawasan perumahan lama di Bintulu.
Beliau mencadangkan kajian kebolehlaksanaan teknikal bagi pembinaan tangki simpanan air bertingkat di lokasi strategik untuk membantu menstabilkan tekanan air dan meningkatkan kesinambungan bekalan, tertakluk kepada kesesuaian sistem rangkaian air sedia ada.
Oleh Adele Rissa





