PETRA JAYA, 15 Oktober: Petani di kawasan Tebedu memerlukan akses pasaran lebih luas dan kos pengeluaran lebih rendah bagi memastikan sektor pertanian mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) berkata sektor pertanian kekal sebagai antara sumber pendapatan utama penduduk Tebedu yang terlibat dalam penanaman lada, kelapa sawit, buah-buahan, tanaman makanan dan penternakan kecil-kecilan.
Beliau berkata transformasi pertanian tidak seharusnya tertumpu kepada pemberian bantuan baja, benih dan peralatan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi usaha meningkatkan produktiviti serta memperkukuh rantaian pemasaran hasil pertanian.
“Matlamat kita bukan sekadar memastikan petani mengeluarkan hasil yang lebih banyak, tetapi memastikan mereka memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.
Bagi mencapai matlamat itu, beliau menekankan keperluan menaik taraf jalan pertanian bagi memudahkan pengangkutan hasil, memperluas khidmat nasihat teknikal dan penggunaan teknologi moden serta membuka peluang pasaran yang lebih baik kepada petani.
Beliau turut mencadangkan pembangunan industri pemprosesan hasil pertanian bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan, sekali gus membuka peluang pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, beliau berkata golongan belia perlu digalakkan menceburi bidang pertanian sebagai satu perniagaan berpotensi tinggi, bukan sekadar kegiatan sara diri.
Katanya, dengan sokongan menyeluruh, sektor pertanian berupaya menjadi pemacu pembangunan ekonomi luar bandar melalui peningkatan produktiviti, pengurangan kos pengeluaran dan pendapatan petani yang lebih baik.
Oleh Adele Rissa





