KUCHING: Salah satu bangunan tertua iaitu mercu tanda terkenal bagi bandaraya ini, Fort Margherita tahun ini menyambut ulang tahun ke-140 dan kembali membuka semula Muzium Brooke selepas ditutup semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sejak dibuka untuk orang awam pada 2016, puluhan ribu pengunjung berkunjung ke bangunan itu bagi mempelajari sejarah awal pentadbiran Sarawak.
Pengurus Muzium, Salliza Sideni berkata berikutan wabak Covid-19, kedatangan pelancong asing telah menurun secara mendadak.
“Oleh itu, kini kita telah membuka semula kesemua tempat menarik di Sarawak, muzium dan juga galeri bergantung kepada kunjungan pelancong domestik dan tempatan,” katanya.
Beliau berkata sempena pembukaan muzium itu juga, satu penambahan artifak iaitu Ornamental Wooden Paddle, yang diberikan kepada Rajah Anthony Brooke sekitar tahun 1900.
“Pendayung ini telah diberikan kepada beliau daripada ketua masyarakat pada masa dahulu, namun kita masih belum pasti siapa dan lebih banyak maklumat serta kaji selidik perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau menambah pendayung tersebut yang mempunyai ukiran serta motif tersendiri berada di United Kingdom selama ini dan dibawa balik oleh Pengarah Yayasan Brooke, Jason Brooke pada satu ketika dahulu.
“Ini adalah antara artifak yang terawal dibawa balik dan ia mempunyai nilai sejarah tersendiri yang berkaitan dengan Regata Sarawak.
“Kita juga berharap, minggu hadapan dapat mempamerkan lebih banyak maklumat mengenai artifak ini dan para pengunjung akan mendapat lebih banyak maklumat berkenaan barang-barang bersejarah pada masa dahulu,” jelasnya.
Beliau berkata muzium tersebut bukan sahaja menceritakan kisah yang memberi inspirasi tetapi juga menghidupkan semula bangunan bersejarah, menceritakan tentang kehidupan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat.
“Dengan pelbagai program dan aktiviti bagi pengunjung solo, kumpulan dan keluarga, sudah tentu ada sesuatu yang menarik untuk semua orang ketika berkunjung ke Fort Margherita,” uajrnya
Untuk maklumat terkini, pelawat boleh melayari @brookemuseums di Instagram dan @thqebrookegallery di Facebook, atau lawati pwww.brookemuseums.org.