MIRI : Empat individu cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Sungai Dalam Jalan Miri-Bintulu di sini, awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng diarahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dipercayai telah bertembung dari arah bertentangan.
“Seorang penumpang wanita berumur 35 tahun telah tersepit di tempat duduk penumpang, manakala seorang bayi berumur dua tahun dan dua orang lelaki dewasa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Law berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya bertindak membersihkan kesan minyak dan serpihan kenderaan di lokasi kemalangan sebelum operasi itu tamat pada jam 5.05 pagi.