LAWAS: Pilihan raya adalah perkara serius yang perlu diberi perhatian utama oleh rakyat dalam menentukan masa depan dan hala tuju negeri ini.
Politik ekstrim yang menyentuh isu agama, budaya dan perkara yang mengugat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk perlu di elak.
Timbalan Ketua Menteri yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan bahawa dalam pilihan raya kekuatan semua pihak tidak boleh dipandang ringan.
“Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan sendiri, jika tidak tentulah mereka tidak bertanding…untuk apa,” katanya kepada media selepas mempengerusi mesyuarat dengan beberapa jawatankuasa Parti Pesaka Bumiptera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas semalam.
“Kempen perlu berhemah dan matang agar perpaduan antara kaum, agama, latar belakang yang berbeza tidak dijaja sebagai modal politik.
“Selama ini saya sentiasa memastikan seluruh rakyat di Lawas diberi perhatian sama rata dan sama rasa tanpa ada perbezaan.Ini juga dilakukan oleh Ahli Parlimen kita Dato Henry Sum yang tidak mengabaikan mana-mana kaum dan agama dalam politik matang yang menjadi berteraskan kesatuan rakyat,” tambah beliau.
Awang Tengah turut menegaskan bahawa GPS terus mengutamakan rakyat dan segala kepentingan, keutamaan rakyat dalam segenap aspek akan diberi keutamaan seperti keperluan infrastruktur, kebajikan dan lainnya akan terus diutamakan.
“Kita mengakui sebagai manusia biasa memang ada kelemahan dan kekurangan.
“Namun demikian, disebabkan kita berhubung rapat dengan rakyat dan sering berdampingan dengan mereka maka kita terima segala pandangan mereka untuk kita meningkatkan perkhidmatan kita,” tambahnya.
Seterusnya beliau turut mengingatkan rakyat bahawa pihak pembangkang akan terus menggunakan isu tanah sebagai modal kempen berbanding isu besar lain yang perlu diberi perhatian.
Awang Tengah memberi jaminan bahawa kanan tanah Sarawak melindungi hak rakyat termasuk pemilikan tanah hak adat bumiputera dan sebagainya sejajar dengan bukti dan perundangan.
“Kita lihat saja, selepas pilihanraya mereka hilang dan rakyat akan kembali balik kepada kita untuk mendapat berbagai bantuan dan sebagainya,” ujarnya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari yang mempertahankan kerusi untuk penggal ke-8 setelah mula memenanginya pada 1987 menyeru rakyat melaksanakan tanggungjawab menunaikan undi.
“Bagaimanapun mereka mesti mematuhi segala Standard Oeperasi Prosedur (SOP) dan arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan.
“Keselamatan dan kesihatan semua adalah penting dan kerana itu, bersama kita patuhi SOP dan segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” jelasnya.
Oleh ADENG EDRUS