Edmund Uda cabar perebutan kerusi DUN N.39 Krian sebagai calon Bebas.

Facebook
WhatsApp
EDMUND Uda cabar perebutan kerusi DUN N.39 Krian sebagai calon Bebas.

KRIAN, 27 Nov: Bekas Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian, Edmund Uda Maleng, 58, mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Berasal dari Rumah Bararek Kedap, Malupa Krian, Edmund yang bekerja sebagai juru perunding berkata, keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon Bebas didorong oleh keinginan membawa perubahan terhadap pengurusan serta memperjuangkan suara masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, antara perkara yang mendorong penyertaannya dalam pilihan raya kali ini ialah keperluan memperbaiki pengurusan yang disifatkannya tidak adil dan kurang cekap.

“Saya sudah memang dikenali ramai di kawasan DUN Krian. Saya telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Cawangan PBB Cawangan Krian, namun saya masih mesra GPS.

“Apa yang mendorong saya untuk bertanding pada pilihan raya kali ini adalah keinginan untuk mengubah pengurusan yang tidak adil dan tidak cekap. Itu antara sebab utama saya mengambil keputusan ini,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Menurutnya, suara masyarakat di peringkat akar umbi akan menjadi keutamaan sekiranya diberikan mandat oleh pengundi untuk mewakili kawasan Krian.

Beliau menegaskan bahawa aspirasi dan pandangan rakyat menjadi antara dorongan utama untuk tampil menawarkan alternatif kepimpinan kepada penduduk setempat.

“Suara akar umbi akan saya bawa kerana suara masyarakat di peringkat akar umbi itulah yang semakin mendorong saya untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

“Dengan persiapan yang agak singkat, saya berharap rakyat di kawasan DUN Krian akan menyokong dan mendokong saya untuk memenangi pilihan raya DUN N.39 Krian kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Edmund turut merayu agar penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan memberikan peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan serta melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Harapan saya kepada penduduk dan pengundi di DUN Krian, marilah kita bersama-sama memberikan sokongan dan peluang kepada saya kali ini. Berilah mandat kepada saya supaya saya dapat menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat DUN Krian,” katanya.

Edmund sebelum ini merupakan antara pemimpin PBB di peringkat akar umbi kawasan Krian, Saratok, dengan pengalaman memegang jawatan Timbalan Ketua Cawangan PBB Krian serta terlibat dalam usaha pengukuhan organisasi dan pengembangan keahlian parti di kawasan berkenaan.

Penyertaannya sebagai calon Bebas dijangka menambah persaingan dalam perebutan kerusi DUN N.39 Krian, sekali gus memberi pilihan kepada pengundi untuk menentukan wakil rakyat yang bakal membawa aspirasi serta kepentingan masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman