KOTA SAMARAHAN, 27 Nov: Dua lelaki dewasa berjaya menyelamatkan diri selepas kereta dinaiki mereka terbakar sehingga musnah sepenuhnya dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Muara Tuang, di sini, malam ini.
Komander Operasi, PBK I Justin Basik berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Volkswagen Beetle sudah terbakar 100 peratus.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.35 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tiba di lokasi pada 7.49 malam.
Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa apabila kedua-dua lelaki dewasa yang berada di dalam kenderaan berjaya keluar dengan selamat.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadamkan kebakaran.
Kebakaran berjaya dikawal pada 7.52 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.20 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi punca api dan keadaan lokasi selamat.
Seramai enam anggota BBP Kota Samarahan terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah Jentera Penyelamat Kebakaran (FRT) dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Oleh Afiq Sallehi




