Buaya dua meter ‘melintas’ tengah jalan di kawasan Jalan Batu 1

Facebook
WhatsApp
DITANGKAP...Seekor buaya 'melintas’ tengah jalan di kawasan Jalan Batu 1 di Miri berjaya ditangkap pasukan bomba.

MIRI, 27 November:  Pengguna jalan raya di kawasan Batu 1 di sini gempar apabila seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter ditemukan berada di tengah jalan sebelum berjaya ditangkap anggota bomba, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry  Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.29 malam.

Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.

“Pemeriksaan mendapati seekor buaya sepanjang dua meter berada di tengah jalan sebelum anggota bertindak menangkap reptilia berkenaan.

“Buaya itu kemudian dilaporkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut termasuk urusan pelepasan,” katanya.

Menurutnya, operasi bermula 7.34 malam dan berjaya ditamatkan pada 7.49 malam selepas keadaan disahkan selamat.

Tiada kecederaan atau kejadian tidak diingini  sepanjang operasi berkenaan.

Oleh Liong Chai Ling