PETRA JAYA: Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat baharu di Engkilili telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan 5 dengan peruntukan sebanyak RM15.53 juta.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak juga telah mendapat peruntukan RM10.1 juta untuk pembangunan Balai Bomba Dalat di bawah RMK-12 Rolling Plan 5, yang dijangka siap dan beroperasi pada 2027.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata kerja-kerja pengubahsuaian sebuah bangunan industri bagi Balai Bomba Kota Sentosa pula sedang berjalan, manakala tender untuk pembinaan Balai Bomba Sungai Asap dijangka dibuka pada suku pertama tahun depan.
Menjelas lanjut mengenai Balai Bomba Engkilili, beliau berkata kelulusan tersebut diberikan pada 18 Oktober lalu dan dikategorikan sebagai fasiliti Kategori D yang akan dilengkapi dengan penginapan jenis Kelas F untuk kakitangan.
“Dari segi kelengkapan operasi, balai ini akan mempunyai jentera penyelamat bomba yang dilengkapi sepenuhnya dengan peralatan pemadaman kebakaran dan menyelamat.
“Balai tersebut (Engkilili) dijangka beroperasi pada 2027 dan akan dikendalikan oleh 27 anggota bomba serta seorang ketua balai,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dr Sim turut menjelaskan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sedang menjalankan analisis situasi berhubung semakan kriteria untuk penubuhan balai bomba di kawasan luar bandar negeri ini.
Katanya, hasil analisis ini akan dimuktamadkan sebelum dihantar kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk kelulusan.
Dalam pada itu, Dr Sim juga menyatakan sepanjang tempoh Januari hingga 31 Oktober tahun ini, JBPM Sarawak telah menerima sejumlah 7,919 panggilan kecemasan, termasuk 1,930 kes kebakaran, 5,944 panggilan menyelamat, dan 45 panggilan perkhidmatan khas.
“Jabatan itu berjaya menyelamatkan harta bernilai RM30.65 bilion, termasuk RM29.86 bilion daripada dua kes kebakaran kapal laut di Miri dan dua kes kebakaran kilang di Bintulu.
“Peningkatan ketara dalam nilai harta yang diselamatkan adalah hasil daripada penubuhan pasukan tindak balas pertama di kilang dan komuniti, selain pembinaan balai bomba baharu yang mempercepatkan masa tindak balas jabatan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal