GP Bahrain: P2 sudah maksimum buat Mercedes di Sepang – Antonelli

Facebook
WhatsApp
PEMANDU Mercedes, Kimi Antonelli, yang menduduki tempat kedua, mengangkat trofi ketika upacara podium selepas perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. Foto AFP

SEPANG, 4 Oktober: Pendahulu kejuaraan dunia Kimi Antonelli mengakui kedudukan kedua merupakan keputusan terbaik mampu diraih Mercedes-AMG PETRONAS pada Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba Itali itu berkata Max Verstappen berada dalam kelas tersendiri apabila pelumba Red Bull Racing berkenaan menguasai perlumbaan penuh dramatik yang dipengaruhi hujan untuk meraih kemenangan pertamanya selepas 16 pusingan perlumbaan musim ini.

Antonelli berkata Silver Arrows bergelut untuk menyaingi rentak Red Bull Racing sepanjang hujung minggu ini, manakala permukaan litar yang kasar serta suhu tinggi turut menyukarkan pasukan itu menilai prestasi pakej baharu mereka.

“Saya rasa kami masih cuba memahami pakej baharu ini kerana keadaan litar dengan permukaan yang agak kasar serta suhu tinggi menjadikan tugas kami lebih sukar.

KIMI Antonelli, memandu jenteranya ketika perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. Foto AFP

“Mungkin pada GP Singapura minggu depan (9-11 Oktober), kami berharap dapat memperoleh gambaran lebih jelas mengenai pakej ini, selain memahami tetapan yang perlu digunakan.

“Namun, berdasarkan rentak yang kami miliki hari ini, saya rasa P2 (tempat kedua) adalah keputusan terbaik yang mampu kami capai,” katanya pada sidang media selepas perlumbaan.

Sebelum ini, pasukan yang berpangkalan di Brackley, United Kingdom itu memperkenalkan sayap hadapan baharu serta beberapa komponen lain pada GP Kanada Mei lepas bagi meningkatkan prestasi aerodinamik jentera, termasuk di bahagian belakang.

Mercedes kemudian membawa pakej naik taraf utama seterusnya ke GP Bahrain di Malaysia dalam usaha meningkatkan daya saing mereka berdepan pencabar musim ini.

Sementara itu, pelumba Ferrari, Lewis Hamilton yang melengkapkan podium di tempat ketiga berkata keputusannya memulakan perlumbaan menggunakan tayar lembut pada awalnya dilihat berisiko menjejaskan perlumbaannya.

Bagaimanapun, juara dunia tujuh kali itu memilih untuk terus berada di litar dan menunggu keadaan trek semakin kering sebelum secara beransur-ansur memperbaiki kedudukannya.

Hamilton berkata keputusan Ferrari untuk kekal dengan strategi berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila keadaan trek bertambah baik, selain dibantu beberapa hentian pit pantas yang membolehkannya kembali bersaing dalam kelompok hadapan.

“Apabila keadaan mula berubah, saya berasa semakin baik kerana dapat mengejar pelumba lain. Jentera juga terasa sangat baik dan selepas itu, kru saya di garaj melakukan hentian pit yang sangat baik, begitu juga dengan strategi kami.

“Jadi, untuk kami kembali menaiki podium, saya sendiri tidak menyangka ia akan berlaku tetapi sudah tentu saya amat bersyukur kerana kami berjaya kembali ke sini,” katanya.

Hamilton berkata Ferrari masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki, namun memuji usaha pasukan itu sepanjang hujung minggu perlumbaan di Sepang.

Keputusan hari ini menyaksikan Antonelli kekal menerajui kedudukan pemandu dengan 320 mata, diikuti rakan sepasukannya George Russell di tempat kedua dengan 236 mata, manakala Hamilton menghuni tangga ketiga selepas mengumpul 214 mata.

Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat hari ini, berada di kedudukan keempat dengan 191 mata

Juara dunia Lando Norris dari McLaren dan Verstappen pula masing-masing mengumpul 188 mata untuk menduduki tangga kelima dan keenam.- Bernama