KUCHING, 4 Oktober: Sebanyak 90 peratus usahawan wanita di Sarawak di bawah bimbingan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) disasarkan dapat mengakses Papan Pemuka Usahawan Wanita (Women Entrepreneurs Dashboard, WED) Sarawak yang dijangka mula beroperasi awal tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan WED itu bertujuan mewujudkan pangkalan data bersepadu mengenai usahawan wanita di seluruh Sarawak bagi membolehkan kerajaan merancang bentuk bantuan dan intervensi yang lebih tepat.
Katanya, sistem berkenaan dibangunkan dengan menggunakan data daripada Sistem Pangkalan Data Perusahaan (ENBASE) milik Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), sekali gus mengelakkan pertindihan dalam pembangunan sistem baharu.
“Sehingga September 2026, seramai 3,901 daripada 5,266 usahawan bimbingan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, iaitu kira-kira 74 peratus bagi tempoh 2018 hingga 2026, telah didaftarkan sebagai data dalam ENBASE MINTRED.
“Usaha akan terus dijalankan sehingga semuanya dapat kita daftar, termasuk usahawan yang dibimbing oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026, di Pusat Acara MetroCity, hari ini.
Fatimah berkata, WED dijangka siap dari segi pemasangan fizikal di Wisma Wanita pada pertengahan Disember sebelum mula beroperasi pada awal 2027.

Menurutnya, sistem itu akan membolehkan kerajaan memperoleh data semasa dan lebih menyeluruh berkaitan profil usahawan wanita, termasuk jenis perniagaan, umur, pendapatan bulanan serta masalah yang dihadapi.
Katanya, maklumat berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan intervensi dan menyediakan sistem sokongan yang lebih cepat serta tepat mengikut keperluan setiap usahawan.
“Dengan adanya sistem ini, maklumat dan data usahawan wanita dapat kita kumpulkan dan diperoleh secara holistik serta tepat kerana ia merupakan data semasa.
“Ini seterusnya akan membolehkan kita mendapat gambaran yang jelas tentang profil usahawan kita,” katanya.
Beliau berkata, WED turut akan menjadi platform yang membolehkan usahawan wanita yang belum berdaftar mendaftarkan perniagaan mereka selain mengakses maklumat dan peluang sokongan yang disediakan kerajaan.




