KABONG, 4 Oktober: Sebanyak 12 pasukan menyemarakkan Pertandingan Mobile Legends Tertutup N.40 Kabong yang dianjurkan sempena Karnival Sukan Saberkas (Kasus) Saberkas Cawangan Kabong hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penganjuran pertandingan berkenaan membuktikan e-Sukan kini menjadi antara platform yang mampu menarik penyertaan golongan belia menerusi aktiviti yang selari dengan minat generasi muda.

Dalam pertandingan itu, pasukan ‘Belum Panas’ muncul juara selepas menampilkan aksi terbaik sepanjang pertandingan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700.
Tempat kedua dimenangi pasukan ‘Just Friends’ yang menerima RM500, manakala pasukan ‘Parti Ayam’ menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM300.
Pasukan ‘ChatGPT’ pula melengkapkan kelompok empat terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200.
Bagi kategori Pemain Paling Bernilai (MVP), Mohd Zulhelmy Zakaria dinobatkan sebagai penerima anugerah dan menerima hadiah wang tunai RM100.
Chee Kadir turut merakamkan tahniah kepada Saberkas Cawangan Kabong atas inisiatif menganjurkan program yang dilihat mampu mendekati golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong melalui aktiviti sukan dan rekreasi yang menarik.
Menurut beliau, e-Sukan bukan sekadar hiburan, malah mampu menjadi medium untuk anak muda mengembangkan bakat, kemahiran, disiplin, strategi serta semangat kesukanan.

Beliau turut menghargai komitmen Saberkas Cawangan Kabong yang berjaya memastikan pertandingan tersebut berlangsung dengan lancar dan teratur tanpa sebarang kekangan sepanjang program.
Dalam program sama, turut diadakan simbolik penyerahan cukai jalan yang telah diperbaharui bagi kenderaan Persatuan Bomba Sukarela Kabong, yang dibiayai sepenuhnya oleh ADUN Kabong.
Pada kesempatan itu, Chee Kadir turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Saberkas Cawangan Kabong bagi menyokong penganjuran aktiviti persatuan sepanjang 2026.
Beliau berharap sokongan dan kerjasama berterusan itu dapat memperkukuhkan peranan Saberkas Cawangan Kabong dalam melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada golongan belia serta komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman




