KUCHING: Situasi banjir di Sarawak masih dalam pemantauan dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 12,486 orang daripada 3,648 keluarga.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sebanyak tujuh bahagian dan 18 daerah terjejas, dengan trend pemindahan mangsa menunjukkan peningkatan.
Sehingga 8 pagi tadi, sebanyak 62 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi. Bahagian yang paling terkesan ialah Kanowit, yang dikategorikan sebagai zon merah dalam pemantauan bencana.
Beberapa bahagian lain seperti Sibu, Selangau, Mukah, Tatau, Sebauh, Simunjan, dan Kuching berada dalam kategori zon kuning dan berisiko banjir.
Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan PPS Naim Paragon meningkat kepada 2,043 mangsa (622 KIR) berbanding sebelumnya.
PPS Pusat Sukan BDA Kidurong turut menunjukkan peningkatan kepada 303 mangsa (80 KIR), manakala PPS Balai Raya Sebauh meningkat kepada 176 mangsa (53 KIR).
Pada masa sama, PPS Stadium Muhibah merekodkan penurunan kepada 870 mangsa (207 KIR) dan PPS Dewan Suarah menurun kepada 1,049 mangsa (300 KIR).
Di Serian, PPS SK Tanah Putih meningkat kepada 465 mangsa (139 KIR), sementara PPS Dewan Pak Kung Serian bertambah kepada 85 mangsa (27 KIR) dan PPS Dewan Rancan mencatatkan peningkatan kepada 220 mangsa (59 KIR).
Dalam perkembangan lain, PPS Dewan SK Tebakang menurun kepada 65 mangsa (20 KIR) dan Balai Raya Ensebang Padang Bilon merekodkan penurunan kepada 21 mangsa (8 KIR).
Di Samarahan, PPS Dewan Sri Budaya Niup menunjukkan peningkatan kepada 160 mangsa (43 KIR), manakala PPS SK Sampun Tebun bertambah kepada 313 mangsa (111 KIR).
Di Kuching, tiga PPS masih beroperasi bagi menampung mangsa banjir.
PPS SJK (C) Chung Hua Batu Kawa menempatkan 237 mangsa (60 KIR), sementara PPS Dewan Haji Kamaruddin menampung 60 mangsa (25 KIR) dan PPS SK Sejijak mencatatkan 178 mangsa (68 KIR).
Kesemua PPS di Kuching menunjukkan jumlah mangsa kekal sejak laporan terakhir.
Sementara itu, di Miri, PPS SMK Merbau Miri meningkat kepada 36 mangsa (12 KIR) dan PPS SMK Suai naik kepada 35 mangsa (12 KIR).
Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya terus berjaga-jaga dan mengikuti arahan pemindahan sekiranya diperlukan.
Oleh Amanda L