ELLIE EDWARD
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu telah melaksanakan program derma darah untuk membantu kekurangan bekalan darah di Hospital Bintulu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Bin Abdullah berkata, sebagai agensi kerajaan dan ‘frontliners’ yang sentiasa sedia berkhidmat untuk negara, anggota Maritim Malaysia turut serta menyumbang bakti dengan menderma darah untuk kepentingan rakyat.
“Langkah ini diambil bagi membantu pihak Unit Transfusi Darah Hospital Bintulu untuk mengatasi masalah penurunan bekalan simpanan darah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Program Derma Darah Maritim Zon Bintulu bertempat di Hospital Bintulu, semalam.
Menurutnya, bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan dan kesedaran Covid-19 telah dititikberatkan semasa berlangsungnya program ini bagi mengurangkan risiko penularan wabak.
“Saringan kesihatan dilakukan oleh petugas kesihatan terhadap anggota yang hadir sebelum proses derma darah dilakukan dan amalan penjarakan sosial sentiasa diamalkan,” katanya.
Jelas beliau, dengan adanya program seperti ini, pihak Maritim Malaysia berharap dapat membantu pihak hospital dalam meningkatkan simpanan darah sekali gus mampu menyelamatkan nyawa insan lain tanpa mengira bangsa dan agama.
“Seluruh rakyat Malaysia terutamanya komuniti Maritim di Bintulu dinasihatkan untuk sentiasa berada di dalam rumah masing bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan sentiasa menjaga kebersihan,” katanya.
Dalam pada itu, Zon Maritim Bintulu berharap komuniti maritim terutamanya di Daerah Bintulu agar mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan mematuhi semua arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dikuatkuasakan.
Sehubungan itu, pihak Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan kemalangan di laut secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254.