Anak Sarawak diseru kuasai teknologi dengan bantuan AI untuk pembangunan negeri – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak berucap pada Majlis Perasmian Festival AIFM 2026 di Kampung Digital Tegas, Kuching.

KUCHING: Anak muda di Sarawak diseru mempelajari bidang teknologi dan sains dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mengkaji sumber serta membantu pembangunan negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AI boleh digunakan sebagai alat untuk membantu manusia mendapatkan dan mengembangkan maklumat melalui penyelidikan.

“Saya minta kita membantu anak kita supaya mengambil jurusan yang ada kaitan dengan teknologi dan sains.

“Kita boleh menggunakan AI untuk mendapatkan maklumat berkaitan sumber negeri sebelum menjalankan kajian lanjut.

“Tapi otak AI ini bukan otak manusia, mesti kita sebagai manusia mengkaji lagi. Mengkaji mengikut maklumat yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian AI untuk Pencipta: Pesta Pencipta Borneo (AIFM) 2026 di Kampung Digital Tegas, Kuching, hari ini.

Tambah beliau, penggunaan AI dan data membolehkan penyelesaian dibangunkan berdasarkan keadaan serta keperluan sesuatu kawasan.

Beliau memberi contoh pokok paka atau Litsea ketika meninjau reruai pameran AIFM 2026 yang berpotensi digunakan untuk menghasilkan produk seperti minyak wangi.

“Kalau anak kita tahu tentang pokok ini, dia tanya AI, ‘Apa guna pokok ini?’ Kalau AI dapat bantu bagi maklumat, kita buat penyelidikan.

“AI turut boleh digunakan dalam penyelidikan tanaman padi, termasuk menentukan keperluan baja berdasarkan data yang dikumpulkan.

“AI juga digunakan dalam perancangan infrastruktur seperti jalan dari Samarahan ke Sadong melalui Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM),” jelasnya.

Tegasnya, anak muda perlu mempunyai pengetahuan teknologi bagi membolehkan mereka menggunakan sumber yang dimiliki Sarawak untuk menghasilkan produk bernilai tambah.

Untuk rekod, Festival AIFM 2026 dianjurkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bersama Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) hari ini dan esok di Kampung Digital Tegas, Kuching.

Program itu dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung dan menampilkan 30 pempamer, enam bengkel praktikal, 11 sesi ceramah, forum serta AI Spotlight dan dua cabaran AI.

Oleh Masrin Affirah