SERIAN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Serian meneruskan komitmennya dalam membanteras ancaman dadah dari peringkat akar umbi menerusi penganjuran Program Ceramah dan Pameran Antidadah yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Merakai, di sini, kelmarin.
Menurut kenyataan media AADK Daerah Serian, program yang diadakan dengan kerjasama pihak sekolah itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman murid, guru dan ibu bapa mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang.
Inisiatif pencegahan ini memberi fokus khusus kepada pendedahan awal agar generasi muda dapat dipupuk dengan nilai kecergasan fizikal dan mental tanpa kebergantungan kepada bahan terlarang.
Sesi ceramah bertajuk “Kesan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang” telah disampaikan oleh Pegawai AADK, James Sean Junata, yang memfokuskan kepada aspek bahaya serta implikasi negatif bahan tersebut.
Dalam ceramah berkenaan, beliau memberikan penekanan mendalam terhadap kesan buruk penyalahgunaan dadah dari sudut kesihatan fizikal dan mental, pencapaian pendidikan, serta kesejahteraan sosial masyarakat.
Beliau turut menyeru agar langkah pencegahan awal diperkasakan di peringkat sekolah bagi memastikan murid tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang merosakkan ini.

Selain ceramah, program tersebut turut diseri dengan pameran antidadah yang dikendalikan oleh Walen Dabblin bagi memantapkan lagi pemahaman visual para peserta.
Pameran tersebut memaparkan maklumat terperinci berkaitan pelbagai jenis dadah, kesan jangka pendek dan panjang penyalahgunaannya, serta langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh komuniti bagi membanteras isu berkenaan.
Program yang mendapat sambutan hangat ini telah berjaya melibatkan seramai 64 orang peserta yang terdiri daripada gabungan pelajar, ibu bapa serta guru SK Merakai.
Pihak AADK berharap program ini dapat mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi dan komuniti sekolah dalam melahirkan generasi muda yang sihat, berdaya saing, serta bebas daripada cengkaman dadah.
Orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat, pertanyaan atau ingin membuat aduan berkaitan masalah dadah boleh menghubungi Talian Hotline AADK di 1-800-22-2235 (AADK), talian WhatsApp 019-626 2233, atau melayari sistem dalam talian di icari.aadk.gov.my.
Maklumat lanjut juga boleh didapati menerusi laman web rasmi di www.aadk.gov.my.
Oleh Adi Safarman





