KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Inspektor berjaya ditahan oleh pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) IPD Kota Samarahan ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan sekitar Bangunan Teck Kong, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Jaimi Husin, berkata tangkapan dibuat selepas pasukan MPV yang menjalankan rondaan menemui sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna maroon dengan dua lelaki di dalamnya dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, salah seorang suspek memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman.
“Suspek memakai vest polis lengkap dengan pangkat Inspektor serta membawa sarung pistol di pinggangnya. Namun, apabila diminta mengemukakan kad kuasa polis, suspek memberi alasan kad tersebut tertinggal di rumah dan hanya menunjukkan kad pengenalan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Jaimi berkata suspek gagal mengemukakan sebarang bukti pengenalan sebagai pegawai polis, dan hasil semakan lanjut mendapati lelaki tersebut sebenarnya adalah seorang Pegawai Rendah Polis (PRP) yang tidak hadir bertugas sejak Mac 2024.
“Suspek mengaku sedang bercuti selama dua minggu, tetapi hasil semakan dengan balai polis tempatnya bertugas mengesahkan bahawa dia tidak hadir kerja sejak Mac tahun ini. Kes ini kini sedang disiasat dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti motif sebenar tindakan suspek,” tambahnya.
Pasukan MPV turut merampas beberapa barang bukti, termasuk sebuah kenderaan Perodua Bezza, vest polis dengan pangkat inspektor, kunci kereta serta sarung pistol berwarna hitam.
“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menyamar sebagai pegawai polis. Ini adalah satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan integriti pasukan keselamatan,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.