SARATOK, 29 Oktober: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai menyamar sebagai bomoh berjaya diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan membabitkan kerugian mencecah RM554,525.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan hasil siasatan susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 64 tahun dari Kabong.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang suri rumah telah berkenalan dengan suspek sekitar Jun 2025 ketika berada di sebuah kedai kopi di Sibu Jaya bersama tiga rakannya.
Dalam pertemuan tersebut, suspek yang mendakwa dirinya sebagai bomoh menawarkan khidmat rawatan bagi membantu memulihkan masalah kesihatan anak mangsa.
“Suspek mendakwa mampu merawat anak pengadu dari jarak jauh serta memberikan sebotol minyak yang kononnya perlu disimpan di dalam beg sebagai perlindungan diri.
“Setelah beberapa ketika, mangsa percaya terhadap kebolehan suspek apabila mendapati terdapat perubahan pada keadaan anaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada Oktober 2025, suspek sekali lagi menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan mengatur pertemuan di sebuah kedai kopi di Sibu Jaya.
Dalam pertemuan itu, suspek mendakwa terdapat masalah berkaitan tanah milik mangsa dan menawarkan bantuan untuk “memulihkannya” melalui kaedah ritual dari jarak jauh.
Bagi tujuan tersebut, suspek meminta mangsa membuat beberapa pembayaran kononnya untuk membeli keperluan upacara miring. Mangsa kemudiannya diarahkan memindahkan wang ke enam akaun individu berbeza secara berperingkat.
“Akibat terlalu mempercayai suspek, mangsa telah membuat transaksi sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM554,525 sebelum menyedari dirinya diperdaya dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” jelas DSP Mathew.
Susulan laporan polis Saratok/1692/26 yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sepasukan pegawai yang diketuai Ketua BSJKD Saratok, Inspektor Sofian Zainuddin berjaya menahan suspek semalam kira-kira jam 9 malam di sebuah medan selera di Sibu Jaya.
Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Realme bersama kad sim yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan berkenaan.
Suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Saratok bagi membantu siasatan lanjut.
DSP Mathew turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menawarkan khidmat perubatan atau penyelesaian masalah secara mistik dengan mengenakan bayaran yang tinggi.
“Sebarang permintaan wang yang mencurigakan, lebih-lebih lagi melibatkan pemindahan ke pelbagai akaun individu, perlu disemak terlebih dahulu.
“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan nasihat pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi sedemikian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” ujarnya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Oleh Adi Safarman





