Sarawak perlu perkukuh pembangunan bakat tempatan seiring pertumbuhan industri

Facebook
WhatsApp
DATUK Majang Renggi menyempurnakan upacara penutupan Seminar Awareness to STEM: Explore the World of Robotics 2026 di ADTEC JTM Kampus Bintulu hari ini.

BINTULU, 29 Oktober: Pembangunan bakat tempatan menerusi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuh bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang di Sarawak.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, pembangunan industri di kawasan seperti Bintulu dan Samalaju memerlukan tenaga kerja mahir yang mampu mengendalikan sistem, jentera dan teknologi moden.

Menurutnya, pembangunan negeri bukan sahaja bergantung pada kemajuan infrastruktur dan pelaburan, malah perlu disokong pembangunan modal insan yang selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Pendedahan awal kepada STEM dan TVET penting untuk membantu pelajar mengenal pasti minat serta membina asas kemahiran bagi menghadapi keperluan pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Seminar Awareness to STEM: Explore the World of Robotics 2026 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Bintulu di sini, hari ini.

DATUK Majang Renggi menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar Awareness to STEM: Explore the World of Robotics 2026 di ADTEC JTM Kampus Bintulu, hari ini.

Menurutnya, kerjasama antara sekolah, institusi TVET dan pihak industri perlu diperkukuh bagi menghubungkan pembelajaran di bilik darjah dengan latihan teknikal serta keperluan sebenar sektor pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JTM Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, kebolehpasaran graduan ADTEC JTM meningkat daripada 95.5 peratus pada 2025 kepada 98 peratus pada 2026.

“Sarawak memerlukan kira-kira 35,000 tenaga kerja mahir, manakala sektor kimpalan sahaja dijangka memerlukan 10,000 pekerja menjelang 2030,” ujarnya.

Zahri berkata, ADTEC JTM menawarkan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk elektrik, mekatronik, automotif, kimpalan, pemasangan paip minyak dan gas serta penyejukan dan penyaman udara.

Ujarnya, JTM turut merancang menjadikan pertandingan robotik sebagai acara tahunan dan memperluas pendedahan kepada pelajar sekolah bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam bidang STEM dan TVET.

Oleh Carolyne Utih

i-CATS kini dikenali sebagai TAHOTECH

KUCHING, 29 Oktober: i-CATS kini dikenali sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) susulan pengenalan nama, logo dan identiti