14 individu ditahan dalam Op Tapis Khas di Kuching

Facebook
WhatsApp
ANTARA individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas.

KUCHING, 29 Oktober: Polis menahan 14 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan selama tiga hari di sekitar Kuching dari 25 hingga 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, seorang individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat individu ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan sembilan lagi mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Beliau berkata polis turut merampas 6.49 gram dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM705.

“Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Kuching. Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah, sambil menegaskan bahawa memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.

Beliau menambah bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211.

Oleh Connie Chieng