14 individu ditahan dalam Op Tapis Khas di Kuching

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 14 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dari 25 hingga 27 Oktober lalu. Foto Polis Daerah Kuching

KUCHING, 29 Oktober: Seramai 14 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 25 hingga 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi selama tiga hari itu dilaksanakan bagi mengekang kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini.

Daripada jumlah tangkapan, seorang individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat lagi ditahan mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Sembilan individu selebihnya ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

OPERASI selama tiga hari itu menyaksikan seramai 14 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dari 25 hingga 27 Oktober lalu. Foto Polis Daerah Kuching

Dalam operasi itu, polis turut merampas dadah disyaki methamphetamine seberat 6.49 gram dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM705.

Menurut Alexson, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan berterusan pihak polis serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah.

Beliau menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran, pemilikan atau perlindungan aktiviti dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menerusi talian hotline 012-208 7222 atau hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di talian 017-592 9211.