Empat individu ditahan miliki senjata api tanpa lesen sah

Facebook
WhatsApp
Empat individu ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan peluru.

LAWAS, 29 Oktober: Empat individu ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan peluru.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan dalam satu kenyataan berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 25 Oktober 2026, kira-kira 1.15 tengah hari.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Ba’kelalan, Lawas.

“Pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang mengaku sebagai pemilik rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk senapang patah yang dipercayai buatan sendiri dan disembunyikan di dalam sebuah peti sejuk terpakai di bahagian dapur rumah itu,” katanya.

BARANGAN KES… Beberapa laras senapang dan peluru yang ditemui dirumah suspek.

Seterusnya, pada hari yang sama kira-kira 2.00 petang, polis melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Ba’kelalan, Lawas.

Pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 53 dan 63 tahun. Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah menemukan tiga butir peluru senapang patah di dalam sebuah bakul.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek tidak memiliki lesen untuk memiliki senjata api dan peluru. Semakan rekod lampau terhadap salah seorang suspek mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod kesalahan berkaitan narkotik. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, individu keempat ditahan pada 27 Oktober, kira-kira 1.20 tengah hari, selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Lawas Damit, Lawas.

Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang disyaki memiliki senjata api tanpa lesen. Polis turut merampas sepucuk senapang patah dan dua laras senapang angin dari rumah suspek.

Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang lesen senjata api, manakala semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu yang menyimpan, menggunakan atau memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke balai polis berhampiran.

Oleh Adeng Edrus