Jambatan Batang Paloh dibuka esok, polis ingatkan pengguna patuhi peraturan

Facebook
WhatsApp
UTAMAKAN KESELAMATAN... Polis mengingatkan pengguna Jambatan Batang Paloh supaya tidak berhenti untuk mengambil gambar, memancing atau bersiar-siar di atas jambatan bagi mengelakkan risiko kemalangan.

SIBU, 29 Oktober: Pengguna Jambatan Batang Paloh diingatkan supaya tidak berhenti untuk mengambil gambar, memancing atau bersiar-siar di jambatan itu bersempena dengan pembukaannya esok, bagi mengelakkan risiko kemalangan dan gangguan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Matu-Daro DSP Rahim Mihos berkata pengguna dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan petugas keselamatan bagi memastikan aliran trafik lancar serta terkawal.

“Jangan kerana ingin berhenti seketika, mengambil gambar atau memancing, keselamatan diri dan pengguna lain dipertaruhkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebanyak 19 pegawai dan anggota polis dengan bantuan 10 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), akan bertugas bagi memastikan kelancaran majlis pembukaan jambatan berkenaan.

Majlis itu dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 10.00 pagi, esok. Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer yang menghubungkan Pulau Bruit dengan Jalan Sibu-Tanjung Manis, dijangka mampu memudahkan perjalanan dan perhubungan masyarakat setempat.- Bernama