KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata masih terlalu awal baginya untuk menyatakan sesuatu mengenai kedudukannya pada masa sekarang.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu bagaimanapun berkata, biar pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membuat keputusan berdasarkan rekod baiknya memberi khidmat kepada penduduk di Puncak Borneo.
Beliau berkata, jika Gabungan Parti Sarawak (GPS)/PBB memberinya peluang untuk bertanding dan dicalonkan, sudah pasti akan sedaya upaya untuk mencapai kemenangan.
“Jika memberi saya peluang (bertanding), saya akan memastikan bahawa saya akan menyerahkan (kemenangan) kerusi untuk mereka.
“Saya juga akan bekerja keras untuk rakyat untuk memastikan semua orang makmur mengikut cara yang kita patut lakukan, dengan cara betul dan sempurna.
“Saya menyertai PBB, kini menjadi ahli parti dan menjadi tugas saya untuk terus dibimbing dan perlu menunggu keputusan pucuk pimpinan,”katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Willie berkata, selaku penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo dan Timbalan Menteri, beliau pada asasnya perlu terus menjalankan tugas dan memberi khidmat kepada rakyat untuk memastikan kesejahteraan rakyat dijaga dengan baik.
“Jadi, saya fikir kita hanya perlu menunggu dan melihat hasilnya,” katanya pada majlis projek khidmat masyarakat (CSR) Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) di Siburan dekat sini, dengan kerjasama Pusat Khidmat Puncak Borneo.
Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari PBB, Genot @ Jeannoth Sinel.
Bagaimanapun, Willie meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 sebelum bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada 6 Ogos lalu, PBB meluluskan permohonan Willie untuk menyertai parti itu tetapi tanpa sebarang komitmen.