KUCHING, 8 November: Telaga Air berpotensi dibangunkan sebagai antara destinasi pelancongan menarik di kawasan Parlimen Santubong menerusi pengukuhan produk tempatan, penyediaan kemudahan serta peningkatan kemahiran penduduk setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kelebihan Telaga Air yang mempunyai kawasan perairan, hasil makanan laut serta suasana kampung mampu menjadi tarikan kepada pelancong sekiranya potensi berkenaan dimanfaatkan dengan baik.

Menurutnya, pembangunan sektor pelancongan di kawasan itu perlu disertai persediaan masyarakat untuk mengambil peluang ekonomi yang bakal diwujudkan, termasuk dalam bidang penyediaan makanan, kraftangan dan perkhidmatan kepada pengunjung.
“Apabila pengunjung datang, mereka memerlukan makanan, penginapan dan pelbagai perkhidmatan. Kita mahu penduduk bersedia mengambil peluang tersebut.
“Sebab itu pembangunan kemudahan perlu disertai latihan dan bimbingan supaya masyarakat mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk meningkatkan kualiti produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Telaga Air 2026 yang memasuki edisi ke-19 di Kampung Telaga Air, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong itu berkata, wanita khususnya mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan melalui kemahiran sedia ada seperti penyediaan makanan, jahitan dan penghasilan kraftangan yang boleh dipasarkan kepada pelancong.
Beliau turut berkongsi kejayaan program Program Pemerkasaan Anak Perempuan (Empowerment for Girls) yang diperkenalkan bagi memberikan pendedahan kemahiran kepada golongan remaja perempuan, termasuk dalam penghasilan produk kraf tangan.
Menurutnya, dua peserta perempuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti latihan mengait berjaya memperoleh pendapatan lebih RM1,000 dalam tempoh dua hari menerusi jualan produk yang dihasilkan selepas menjalani latihan selama seminggu.
Katanya, pendekatan sama berpotensi diperluaskan kepada golongan pelajar perempuan di Telaga Air bagi membolehkan mereka mempelajari kemahiran baharu dan menjadikannya sumber pendapatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy turut menyentuh potensi Telaga Air sebagai lokasi alternatif bagi penganjuran acara regata yang sebelum ini sering diadakan di kawasan Tebingan Kuching.
Beliau berkata, cadangan berkenaan pernah disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan kawasan Tebingan Kuching mempunyai ruang yang semakin terhad untuk menampung penganjuran acara berskala besar.
“Tempat ini berpotensi untuk kita membawa regata yang biasanya diadakan di Tebingan Kuching ke sini. Dengan itu, limpahan ekonomi bukan sahaja tertumpu di Kuching, malah penduduk di Telaga Air juga dapat menikmati peluang dan manfaatnya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata perancangan pembangunan infrastruktur termasuk penambahbaikan akses jalan raya ke Telaga Air turut berpotensi meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan kepada pengunjung.
Bagaimanapun, katanya, usaha memperkukuh sektor pelancongan perlu berjalan seiring dengan penjagaan kebersihan, keselamatan dan kemudahan awam bagi memastikan pengunjung mendapat pengalaman yang selesa.
Beliau turut menggesa Majlis Perbandaran Padawan (MPP), pemimpin masyarakat dan penduduk setempat terus bekerjasama mempertingkatkan kebersihan kawasan selain menyediakan kemudahan lebih baik untuk aktiviti perniagaan dan pelancongan.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, Penyandang Kerusi DUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang danPengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Tan Kai.
Oleh Shahrul Qaizat





