JAKARTA, 8 November: Seorang kru masih hilang selepas sebuah helikopter pemadam kebakaran terhempas ke dalam Sungai Barito di wilayah Kalimantan Selatan hari ini, meskipun laporan rasmi sebelum ini menyatakan ketiga-tiga individu di dalamnya terselamat.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata hanya dua kru berjaya diselamatkan, sekali gus membetulkan maklumat awal agensi itu bahawa kesemua mangsa selamat.
Beliau mengenal pasti kru yang hilang sebagai Yayan Supyansuri, warganegara Indonesia yang bertugas sebagai pegawai pendaratan helikopter, manakala dua juruterbang warga Australia yang terselamat telah menerima rawatan perubatan.
“Keutamaan utama ketika ini adalah mencari kru yang hilang, memastikan pemulihan juruterbang yang terselamat serta mengawal bangkai helikopter di sepanjang tebing sungai,” katanya dalam kenyataan yang dikemas kini pada Ahad.
Helikopter persendirian sewa kontrak jenis Super Puma H-225 dengan nombor pendaftaran VH-HGM itu terhempas ke dalam Sungai Barito berhampiran Desa Tabatan di Kabupaten Barito Kuala, Kalimantan Selatan, awal Ahad ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah menggunakan kaedah pengeboman air.
Berton berkata pasukan mencari dan menyelamat seramai 18 anggota dari Banjarmasin telah dikerahkan bersama peralatan menyelam dan peranti pengesanan bawah air, dengan dibantu oleh Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), polis, anggota tentera serta penduduk tempatan.
Beliau berkata BNPB akan memudahkan siasatan rasmi berhubung punca nahas itu dan menyemak semula prosedur keselamatan pemadaman kebakaran dari udara, manakala operasi membanteras kebakaran hutan dan tanah akan diteruskan. – Bernama




