KOTA SAMARAHAN, 8 November: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesinambungan kepimpinan, kestabilan politik dan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan demi kepentingan generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, parti itu sebagai tulang belakang kerajaan Sarawak perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan serta keupayaan baharu bagi menghadapi perubahan ekonomi dunia.
Menurut Presiden PBB itu, perubahan ekonomi global yang kini memasuki era kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi baharu menuntut golongan muda supaya terus belajar serta bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan jentera Pemuda PBB supaya terus memperkukuh parti, meningkatkan pengetahuan dan melengkapkan diri dengan keupayaan baharu bagi menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
“Kita perlu terus memperkukuh parti pemerintah, iaitu PBB. Kita perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan keupayaan untuk menghadapi perubahan ekonomi baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan kepimpinan dari satu generasi ke generasi seterusnya tidak seharusnya mengubah semangat perjuangan untuk membangunkan Sarawak.
Katanya, setiap generasi berdepan cabaran dan perubahan berbeza, namun matlamat untuk memastikan Sarawak terus maju perlu kekal menjadi keutamaan.
“Walaupun kepimpinan silih berganti, semangat perjuangan tetap satu, meskipun cabaran dan perubahan yang dihadapi berbeza,” katanya.

Sehubungan itu, PBB perlu memastikan kemenangan parti bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan.
“Kita mahu memastikan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak dan generasi akan datang. Sebagai tulang belakang kerajaan, PBB akan memastikan kemenangan parti demi meneruskan agenda pembangunan Sarawak,” katanya.
Pada PRN Sarawak ke-12, PBB memenangi 47 kerusi DUN daripada 82 kerusi keseluruhan.
Terdahulu, Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menyatakan kesediaan parti itu untuk mempertahankan kesemua 47 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 ketika Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat parti itu, minggu lalu.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mengingatkan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan antara kekuatan Sarawak yang perlu terus dipelihara.
Beliau berkata, sikap saling menghormati kepercayaan dan perbezaan budaya membolehkan rakyat hidup bersama dalam suasana aman, selain mengukuhkan hubungan antara masyarakat.
Menurutnya, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) merupakan antara inisiatif Sarawak dalam menjaga kepentingan masyarakat pelbagai agama, termasuk menerusi bantuan pembinaan rumah ibadat.
“Di Malaysia, hanya kita mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR). Tidak semua negeri mempunyai inisiatif seperti ini. Kita saling menghormati, pemimpin agama bersatu dan hubungan antara masyarakat berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PBB di Dewan Kampung Stakan Melayu, hari ini.
Oleh Afiq Sallehi





