Gangguan bekalan Asia Barat dorong permintaan metanol Sarawak

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PBB di Dewan Kampung Stakan Melayu, Kota Samarahan, hari ini. Foto Nadya Victoria

KOTA SAMARAHAN, 8 November: Gangguan bekalan metanol dari Asia Barat susulan konflik Iran dan masalah di Selat Hormuz mendorong peningkatan permintaan terhadap metanol keluaran Sarawak daripada negara-negara Asia, termasuk Taiwan dan China.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, industri di rantau Asia yang sebelum ini bergantung kepada bekalan metanol dari Asia Barat kini sedang mencari sumber alternatif bagi memenuhi keperluan bahan mentah masing-masing.

Menurut beliau, metanol mempunyai pelbagai kegunaan dalam sektor perindustrian, termasuk sebagai bahan mentah dalam penghasilan formaldehid.

Katanya, PetChem telah menerima permintaan daripada negara-negara berkenaan untuk membekalkan metanol keluaran syarikat itu ke rantau mereka.

“Industri di rantau Asia bergantung kepada metanol yang dikeluarkan dari Asia Barat dan kini mereka sedang mencari sumber lain untuk mendapatkan bahan mentah tersebut bagi kegunaan industri mereka.

“Nampaknya mereka mengenali PetChem sebagai pengeluar metanol dan telah meminta supaya PetChem membekalkan produk berkenaan ke rantau mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Kampung Stakan Melayu, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, PetChem kini merancang meningkatkan pengeluaran metanol daripada tahap semasa 75 peratus kepada 90 peratus bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Loji metanol milik Sarawak Petchem Sdn Bhd yang terletak di Tanjung Kidurong, Bintulu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 5,000 metrik tan sehari atau kira-kira 1.75 juta metrik tan setahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa permintaan tersebut datang daripada beberapa negara Asia, termasuk Taiwan dan China.

Oleh Adele Rissa