CILTM Sabah gesa kajian komprehensif mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Facebook
WhatsApp
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)

LABUAN, 8 November: Masa depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sama ada dikekalkan, dinaik taraf atau dipindahkan mesti ditentukan menerusi penilaian komprehensif terhadap daya maju ekonomi, kapasiti operasi dan manfaat jangka panjangnya kepada Sabah. 

Pengerusi Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Sabah Daniel Doughty berkata keputusan mengenai pintu masuk penerbangan utama negeri itu seharusnya dibuat berdasarkan bukti yang boleh dipercayai dan penilaian yang seimbang, dan bukannya pendirian yang telah ditetapkan lebih awal. 

Beliau berkata demikian susulan penganjuran forum awam bertajuk ‘Our Airport, Our Connectivity, Our Sabah’s Future’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu semalam. 

Acara itu disertai golongan profesional dalam bidang penerbangan, wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan orang awam. 

“Tanggungjawab kami bukanlah untuk memberitahu orang ramai apa yang perlu difikirkan, sebaliknya menyediakan maklumat yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini. 

Doughty berkata usaha untuk mengekalkan atau memindahkan KKIA perlu dibuat menerusi penilaian yang ketat, dengan mengambil kira kos pembangunan, keperluan pembiayaan, kesan terhadap alam sekitar dan implikasi ekonomi jangka panjang. 

Forum itu menampilkan perunding strategi penerbangan antarabangsa Edward Clayton dan bekas pengawal selia penerbangan awam, Datuk Kapten Chester Voo, yang berkongsi pandangan masing-masing mengenai pembangunan masa depan KKIA. 

Antara isu yang dibincangkan termasuk kapasiti landasan, peluasan terminal, ekonomi laluan syarikat penerbangan, kargo udara, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat, kemampanan alam sekitar serta industri sokongan penerbangan.

Selain itu, Doughty berkata memperluas kemudahan lapangan terbang semata-mata tidak akan menjamin kehadiran lebih banyak syarikat penerbangan atau mewujudkan hab penerbangan yang berjaya, kerana permintaan penumpang, keuntungan syarikat penerbangan dan industri sokongan turut memainkan peranan yang sama penting.

Pada masa sama, CILTM Sabah menyambut baik rancangan kerajaan negeri untuk melaksanakan kajian pelan induk pengangkutan dan logistik bersepadu pada 2027, yang merangkumi kesalinghubungan udara, darat dan maritim.

Kajian itu diumumkan pada majlis perasmian forum tersebut oleh Caroline Jiungan yang mewakili Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Menurut CILTM Sabah, pembangunan lapangan terbang itu harus dinilai sebagai sebahagian daripada strategi pengangkutan dan logistik yang lebih meluas untuk memastikan pelaburan dalam infrastruktur memberi manfaat ekonomi yang ketara.

Oleh itu, institut tersebut akan mengumpul hasil perbincangan forum itu, selain pandangan pakar, kebimbangan orang ramai, dan dapatan tinjauan dalam kalangan peserta agar satu laporan dapat dikemukakan kepada pihak berkuasa atau agensi kerajaan berkaitan. 

Pada acara itu, turut berlangsung pelancaran awal Siri Kepimpinan Pemikiran CILTM Sabah, iaitu platform perkongsian ilmu digital yang diterajui oleh ketua projek merangkap editor, Datuk Ramli Amir, bertujuan  mempromosikan wawasan profesional dan penyelidikan mengenai logistik, pengangkutan, rantaian bekalan, serta pembangunan ekonomi.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur yang juga Timbalan Pengerusi CILTM Sabah Faizal Malik berkata forum tersebut menyediakan platform penting bagi sesi dialog yang membina dan jalinan kerjasama profesional mengenai masa depan sektor penerbangan di Sabah.

CILTM Sabah juga mengesahkan kembali komitmennya untuk menyokong perbincangan berasaskan maklumat mengenai kesalinghubungan pengangkutan, daya saing logistik, dan pembangunan ekonomi yang mampan di negeri itu. – Bernama