KUCHING, 8 November: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa menghadiri dua majlis rumah terbuka Deepavali di sini, petang ini.
Kunjungan beliau bermula di kediaman Presiden Persatuan Kuil Sikh, Dato Dr Kalwinder Singh Khaira dan keluarga pada 3.00 petang bersama ahli keluarganya, dengan turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Abang Johari kemudian menghadiri jamuan Deepavali anjuran Presiden Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman Kuching, Dato Shankar R.P. Asnani di King’s Curry pada 4.30 petang bersama ahli keluarganya.

Abang Johari menzahirkan penghargaan atas jemputan untuk meraikan Deepavali bersama ahli keluarganya.
“Kita amat bertuah dengan budaya dan kestabilan politik di Sarawak, dan kita perlu menjaga serta melindunginya.
“Apa yang penting sekarang ialah kita memelihara apa yang ada di Sarawak dan terus melangkah ke hadapan untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan Deepavali yang dianjurkan Dato Shankar R.P. Asnani di King’s Curry hari ini.
Sementara itu, Shankar dalam ucapan alu-aluannya berkata, Deepavali diraikan melalui persahabatan, kemurahan hati dan kegembiraan berkongsi hidangan.
“Pertemuan kita hari ini mencerminkan semangat itu apabila masyarakat berlainan agama meraikan perayaan bersama-sama sebagai anak Sarawak.
“Terima kasih atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap masyarakat India Sarawak yang menunjukkan bahawa komuniti serta warisan kami dihargai,” katanya.
Selain menikmati hidangan istimewa perayaan masyarakat India, pengisian majlis turut merangkumi penyalaan pelita diya sebagai simbol cahaya mengatasi kegelapan, sesi bergambar serta pertukaran hadiah antara Premier dan tuan rumah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dr Sim bersama isteri, Datin Amar Enn Ong; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng; serta tetamu kehormat lain.
Oleh Masrin Affirah





