LUNDU, 8 November: Pengalaman belajar di luar bilik darjah membuka peluang kepada murid asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Penibong dari Pulau Bruit di Daerah Daro untuk meneroka pengetahuan baharu menerusi program Kembara Ilmu ke Kuching.
Guru penyelaras program, Abdul Hafiz Mohamad, 35, berkata, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai pembelajaran dalam persekitaran berbeza, selain membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan interaksi sosial mereka.

Menurutnya, program itu turut memberi peluang kepada murid memperluaskan pengetahuan am, memperoleh pengalaman baharu, membina keberanian untuk berinteraksi dengan masyarakat luar serta memupuk sikap berdikari dalam mengurus diri ketika berada jauh dari sekolah.
“Pihak sekolah berharap program kembara ilmu ini bukan sekadar aktiviti rekreasi yang menyeronokkan, tetapi menjadi satu pengalaman yang bermakna kepada semua anak murid.
“Apabila pulang nanti, murid-murid diharap dapat membawa pulang ilmu, pengalaman serta keyakinan diri untuk dijadikan inspirasi agar terus bergerak ke hadapan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas aktiviti sukaneka di Pantai Pandan, Lundu, hari ini.


Program yang berlangsung dari 6 hingga 9 November itu merangkumi lawatan ke beberapa lokasi sekitar Kuching, antaranya Petrosains PlaySmart Kuching dan Muzium Budaya Borneo.
Lawatan ke Petrosains PlaySmart Kuching memberi peluang kepada murid mengikuti aktiviti pembelajaran berkaitan sains, manakala kunjungan ke Muzium Budaya Borneo (Borneo Cultures Museum) bertujuan memperkenalkan sejarah, warisan dan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak.
Selain aktiviti pendidikan, murid turut menyertai sukaneka berkumpulan di Pantai Pandan, Lundu, hari ini sebelum mengunjungi Tebingan Kuching (Waterfront Kuching).


Abdul Hafiz berkata, lawatan ke muzium dapat membantu murid memahami sejarah dan identiti negeri Sarawak, manakala aktiviti berkaitan sains pula bertujuan merangsang minat mereka terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Contohnya untuk lawatan ke muzium, tujuan utama adalah untuk memberi pendedahan kepada murid tentang sejarah, warisan dan perkembangan negeri Sarawak itu sendiri. Jadi, kita pun memperkenalkan tentang identiti, budaya dan kepelbagaian masyarakat dalam Sarawak.
“Seterusnya, untuk lawatan ke Petrosains, kita nak meransang minat murid terhadap bidang STEM. Dalam masa yang sama memberi peluang secara langsung untuk murid mencuba aktiviti berkaitan dengan sains”, katanya.
Beliau berharap pengalaman sepanjang program itu dapat memberi manfaat kepada murid, sekali gus menjadi kenangan bermakna yang dapat mendorong mereka untuk terus menimba ilmu dan meningkatkan potensi diri.
Program itu ditaja oleh bekas Ahli Parlimen Igan, Dato Sri Wahab Dolah.
Oleh Shikin Mahmud




