GPS perhebat pendekatan dekati pengundi muda – Fadillah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof mengulas pendekatan GPS mendekati golongan pengundi muda menerusi pelbagai program dan platform bagi memahami aspirasi serta keperluan mereka menjelang PRN Sarawak Ke-13.

PETRA JAYA, 7 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperhebat pendekatan mendekati golongan belia menerusi interaksi bersemuka, media sosial dan pelbagai program sepanjang tahun bagi memahami aspirasi serta keperluan generasi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pendekatan berbeza diperlukan bagi mendekati golongan muda, khususnya mereka yang berusia 18 tahun dan pengundi kali pertama.

Menurutnya, GPS sudah mempunyai pasukan yang berperanan berinteraksi dengan golongan belia selain mendapatkan maklum balas mereka mengenai bentuk sokongan dan keperluan yang boleh diberikan kepada generasi berkenaan.

“Kita sudah mempunyai pasukan yang akan memainkan peranan untuk berinteraksi dengan golongan belia dan mendapatkan maklum balas mereka mengenai bentuk sokongan yang boleh diberikan kepada GPS.

“Usaha mendekati golongan muda ini bukan sahaja dilakukan menjelang pilihan raya, malah berterusan sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Sarawak Kita Empun 3.0 di Pusat Konvensyen Penview Demak, hari ini. 

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan (Sayap Bumiputera) berkata, penubuhan sayap belia parti turut mendapat sambutan menggalakkan, selain pelbagai program dianjurkan untuk anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia.

Antara platform yang digunakan ialah program Lan Berambeh serta sesi dialog bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang memberi peluang kepada golongan muda menyuarakan pandangan dan mengemukakan cadangan secara langsung.

Fadillah berkata, banyak pandangan yang dikemukakan golongan muda mendapat perhatian Premier, termasuk berkaitan keperluan bantuan perjalanan bagi pelajar yang menuntut di luar Sarawak.

Sebagai contoh, katanya, bantuan tiket penerbangan pergi dan balik berjumlah RM600 diperkenalkan untuk pelajar, sebelum kerajaan Persekutuan turut menyediakan bantuan tambang penerbangan kepada pelajar yang menuntut di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beliau percaya pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan GPS, khususnya dalam menyediakan peluang pendidikan serta sokongan untuk masa depan golongan muda, perlu terus diketengahkan bagi memastikan generasi berkenaan memahami usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Jelasnya, penglibatan golongan belia dalam proses pembangunan negeri perlu diteruskan melalui pendekatan yang memberi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan dan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada kepimpinan kerajaan.

Oleh Afiq Sallehi 

Dr Annuar gesa rakyat tolak naratif perkauman

SIBU, 7 November: Rakyat Sarawak perlu menolak sebarang naratif perkauman yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat, khususnya menjelang Pilihan