SIMANGGANG, 7 November: Kehadiran seekor ular tedung hitam di bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Pruan, semalam mencetuskan kebimbangan apabila reptilia berbisa itu ditemui berkeliaran di dalam kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman berjaya mengawal keadaan apabila ular sepanjang kira-kira 0.9 meter itu berjaya ditangkap dengan selamat.
Menurut APM Daerah Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan ular berkenaan di bahagian dapur rumah mereka.
Susulan laporan itu, seramai tiga anggota APM Sri Aman digerakkan ke lokasi menggunakan Kenderaan Penyelamat Ringan (LRV) jenis JMC bagi menjalankan operasi menangkap reptilia tersebut.
Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati seekor ular tedung hitam berada di bahagian dapur sebelum tindakan menangkap dilakukan menggunakan teknik menjerut dan menyepit.
Hasil tindakan cekap serta pantas anggota bertugas, ular berbisa itu berjaya ditangkap tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
APM Daerah Sri Aman menegaskan komitmennya untuk terus memberikan khidmat bantuan kecemasan kepada masyarakat, khususnya dalam menangani kejadian yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak cuba menangkap atau mengendalikan sendiri ular dan haiwan berbisa sekiranya terserempak dengannya.
Sebaliknya, orang awam dinasihatkan supaya menjauhkan diri, memastikan kanak-kanak serta ahli keluarga berada di tempat selamat dan segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Daerah Sri Aman menerusi talian 083-320973.
Oleh Adi Safarman





