Jangan pertikai peluang kaum lain, bumiputera perlu sama-sama rebut peluang – Annuar

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Annuar Rapaee. Foto TVS

SIBU, 6 November: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Annuar Rapaee mempertahankan dasar keterangkuman kerajaan Sarawak yang menyediakan peluang pendidikan kepada semua kaum, sambil mengingatkan masyarakat bumiputera supaya tidak ketinggalan merebut manfaat yang ditawarkan.

Beliau berkata masyarakat bumiputera tidak seharusnya mempersoalkan peluang yang diberikan kepada kaum lain, sebaliknya perlu memastikan anak-anak mereka turut memanfaatkan peluang pendidikan dan pembangunan yang disediakan oleh kerajaan negeri.

“Yang perlu kita risau bukannya peluang dibuka kepada orang lain. Yang patut kita risau ialah anak-anak bumiputera kita tidak merebut kesempatan yang diberikan itu.

“Di Sarawak, setiap lapisan masyarakat akan diberi peluang selagi mereka mempunyai kelayakan yang sepatutnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Bersama Pemuda Nangka di sini, malam ini.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata sepanjang 15 tahun mewakili kawasan berkenaan, beliau berpegang kepada prinsip bahawa tiada masyarakat harus dipinggirkan daripada arus pembangunan tanpa mengira latar belakang kaum.

Dalam pada itu, Dr Annuar mengakui bahawa tidak semua permasalahan rakyat dapat diselesaikan sepanjang tempoh perkhidmatannya, namun menegaskan bahawa beliau akan terus melaksanakan setiap amanah yang diberikan sebaik mungkin. – Bernama