SIBU, 7 November: Rakyat Sarawak perlu menolak sebarang naratif perkauman yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, rakyat perlu mempertahankan keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan Sarawak daripada sebarang cubaan pihak tertentu mencetuskan perpecahan.
Menurutnya, keamanan dan kestabilan negeri ini terbina hasil kesediaan masyarakat berbilang kaum untuk hidup bersama secara harmoni, sekali gus menjadi warisan penting yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
“Masyarakat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan pihak yang memainkan sentimen perkauman demi kepentingan tertentu sehingga menjejaskan hubungan antara kaum.
“Perpaduan adalah perkara paling penting bagi kita. Melalui perpaduan, kita dapat hidup dalam keadaan lebih aman dan harmoni,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Bersama Pemuda Nangka di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), malam tadi.
Majlis bertemakan perpaduan itu dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat DUN N.55 Nangka dan Kelab Sukan Rekreasi Kampung Dato Baru, Sibu, dengan kehadiran kira-kira 1,000 belia termasuk ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dr Annuar yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka berkata, kehadiran masyarakat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan kaum lain pada majlis itu mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi identiti masyarakat majmuk Sarawak.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang perpecahan boleh mengancam keamanan dan keselamatan negeri, selain memberi kesan terhadap kestabilan politik, ekonomi serta kehidupan seharian rakyat.
Katanya, keharmonian yang dinikmati hari ini merupakan hasil kebijaksanaan pemimpin terdahulu serta sikap saling menerima dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Berdasarkan pengalamannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka selama tiga penggal, Dr Annuar berkata, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian serta menikmati peluang pembangunan dan bantuan kerajaan sentiasa menjadi keutamaannya.
Beliau turut mengimbas pengalaman ketika berkempen pada pilihan raya terdahulu apabila terdapat penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati kerana beranggapan keperluan mereka kurang diberikan perhatian.
“Pengalaman ini mengukuhkan lagi tekad saya untuk berkhidmat kepada semua masyarakat secara adil tanpa mengira latar belakang etnik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa peluang pendidikan dan pembangunan yang disediakan Kerajaan Sarawak terbuka kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira kaum.
“Kita tidak seharusnya bimbang apabila masyarakat lain turut diberikan peluang,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Annuar menggesa golongan muda, khususnya Bumiputera, supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidikan dan pembangunan diri.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak supaya bersama-sama memikul tanggungjawab memelihara kekayaan serta sumber asli negeri agar manfaatnya dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.
Dalam perkembangan lain, Dr Annuar menggalakkan mereka yang hadir mendaftar sebagai sukarelawan bagi satu program yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini, dengan sasaran penyertaan seramai 6,000 belia.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan Nangka Futsal Frenzy 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Kaunselor Syed Hamzah Wan Hamid Edruce dan Pengerusi penganjur, Syed Mohd Yazid Wan Zain.
Oleh Akun Giman





