SARIKEI, 7 November: Taman Rekreasi Sebangkoi bakal diwartakan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam masa terdekat bagi membolehkan pembangunan kemudahan rekreasi dan prasarana dilaksanakan secara lebih terancang, termasuk pembinaan kiosk minyak yang dijangka siap pada 2028.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah itu bertujuan memanfaatkan kedudukan strategik Sebangkoi yang terletak bersebelahan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) sebagai kawasan persinggahan pengguna jalan raya.
“Sebangkoi ini akan diwartakan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam masa terdekat supaya dapat dibangunkan dengan teratur dan memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Sarikei, tetapi juga rakyat keseluruhannya.
“Sebangkoi bersebelahan dengan LPB dan merupakan satu persinggahan yang terbaik. Ia merupakan satu persinggahan yang akan kita bangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kit perlumbaan sempena Sebangkoi MTB Jamboree 2026 di sini, hari ini.
Katanya, pewartaan kawasan itu dijangka membuka peluang untuk mendapatkan peruntukan khusus bagi menaik taraf kemudahan sedia ada di Taman Rekreasi Sebangkoi.
“Kemudahan-kemudahan yang sudah sedia ada di Taman Rekreasi Sebangkoi tetapi kurang digunakan oleh rakyat, mungkin kerana tidak diselenggarakan dengan baik.
“Dengan adanya kawasan ini diwartakan oleh SFC nanti, mungkin kita dapat peruntukan-peruntukan khusus untuk menaik taraf prasarana ataupun kemudahan-kemudahan yang ada supaya mereka yang singgah di situ dapat menikmati kemudahan yang paling baik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kelulusan bagi pembangunan kiosk minyak di Sebangkoi telah diperoleh dan projek itu kini berada pada peringkat perancangan.
Katanya, kemudahan tersebut dijangka memberikan manfaat tambahan kepada pengguna LPB yang melalui kawasan berkenaan, khususnya sebagai tempat persinggahan.
“Kita telah mendapatkan kelulusan untuk membangunkan kiosk minyak di Sebangkoi. Insya-Allah akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
“Dari segi pelaksanaan projek ini, kita sudah dalam perancangan pembangunan dan mengambil masa satu tahun setengah. Insya-Allah dalam 2028 akan siap kiosk minyak ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Sebangkoi MTB Jamboree 2026, Len Talif berkata acara berbasikal lasak itu turut menarik penyertaan peserta dari luar negara.
Tambahnya, lebih 70 peserta dengan jumlah pendaftaran menghampiri 80 orang telah mengesahkan penyertaan dalam acara yang dijadualkan berlangsung esok di Taman Rekreasi Sebangkoi.
Penganjuran acara sukan itu turut memperlihatkan potensi Sebangkoi sebagai lokasi aktiviti rekreasi yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat tempatan dan pengunjung dari luar.
Beliau berkata, kemudahan lain di kawasan tersebut turut akan diberikan perhatian untuk dinaik taraf selepas proses pewartaan oleh SFC dilaksanakan.
Oleh Earl Anek





