Galas misi lahirkan juara, Kelab Tinju Boxlife Sri Aman rasmi berdaftar di bawah KBS

Facebook
WhatsApp
MOHD. Ishak Wahab dan Mohammad Azlan Shah bersama ahli jawatan kuasa tertinggi kelab semasa perjumpaan untuk perbincangan perancangan untuk akhir 2026 dan persiapan 2027. Foto Adi Safarman

SIMANGGANG, 21 Oktober: Kelab Tinju Boxlife Sri Aman membawa misi memperkasakan sukan tinju di Bahagian Sri Aman dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat baharu serta usaha melahirkan petinju berkaliber yang mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Presidennya, Mohd Ishak Wahab berkata, kelab berkenaan telah didaftarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 9 Oktober lalu dengan nombor pendaftaran C-SWK-18990.

Menurutnya, kelab yang dikenali sebagai Kelab Tinju Boxlife itu diterajui beliau selaku presiden, dengan Mohammad Azlan Shah Ismadi sebagai timbalan presiden serta barisan ahli jawatankuasa yang komited terhadap pembangunan sukan tinju di kawasan berkenaan.

“Penubuhan kelab ini merupakan satu langkah untuk memperkukuh pembangunan sukan tinju, khususnya dalam kalangan belia, selain melahirkan atlet yang mempunyai disiplin, ketahanan mental dan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.

Mohd Ishak berkata, ketika ini terdapat tiga kelab tinju aktif yang berdaftar di Sri Aman, sekali gus membuka ruang kepada usaha yang lebih tersusun untuk mengembangkan sukan berkenaan, termasuk perancangan menubuhkan Persatuan Tinju Bahagian Sri Aman.

Sebagai langkah awal untuk menguji kemampuan petinju, Kelab Tinju Boxlife Sri Aman akan menghantar wakilnya menyertai kejohanan tinju di Siniawan pada November depan.

“Penyertaan itu dijangka menjadi medan penting untuk memberikan pendedahan pertandingan kepada petinju, menguji tahap latihan serta membina keyakinan mereka bagi menghadapi saingan pada peringkat lebih tinggi,” katanya.

Kelab berkenaan menjalankan latihan di ruang sukan Pusat Penjara Sri Aman dengan memberi penekanan kepada aspek kecergasan fizikal, kekuatan mental, teknik tinju dan disiplin diri.

Berteraskan visi untuk menjadi akademi tinju perintis yang melahirkan petinju berdisiplin, berdaya tahan dan berintegriti, kelab itu turut menekankan nilai hormat-menghormati, semangat kesukanan serta persekitaran latihan yang selamat dan terbuka kepada semua.

Bagi 2027, kelab itu menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya empat petinju berpotensi tinggi yang mampu bersaing dan memburu pingat dalam kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Antara perancangan utamanya ialah menjalin kerjasama strategik dengan Sarawak Skills melalui program pengenalan sukan tinju, klinik tinju dan bengkel asas bagi menarik minat bakat baharu, khususnya dalam kalangan pelajar serta tenaga pengajar.

Inisiatif itu juga bertujuan menjadikan sukan tinju sebagai wadah untuk membina gaya hidup sihat, meningkatkan keyakinan diri dan memupuk disiplin dalam kalangan golongan muda.

Selain itu, kelab berkenaan merancang memperluas penyertaan petinjunya dalam kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan sebelum membuka peluang kepada petinju terbaik untuk menyertai pertandingan jemputan antarabangsa.

Dengan slogan “Kekuatan dan Kehormatan”, kelab itu berhasrat bukan sahaja melahirkan petinju yang hebat di gelanggang, malah membentuk individu berintegriti yang menghormati lawan dan mampu menjadi kebanggaan komuniti Sri Aman.

Penubuhan Kelab Tinju Boxlife Sri Aman diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan tinju di Bahagian Sri Aman, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk menyerlah dalam arena sukan berkenaan.

Oleh Adi Safarman