PETRA JAYA, 21 Oktober: Penubuhan Zon Ekonomi Khas Sibu dijangka membuka peluang pelaburan baharu dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, agroindustri dan logistik, sekali gus memperluas kegiatan ekonomi di Sarawak Tengah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan penubuhan zon berkenaan mendapat persetujuan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan untuk dimasukkan dalam Belanjawan MADANI 2027.
Menurutnya, pembangunan itu akan memanfaatkan kekuatan sedia ada Sibu sebagai pusat perdagangan, perniagaan dan logistik sungai bagi menarik pelaburan serta mengembangkan potensi ekonomi di wilayah tengah Sarawak.
Zon berkenaan juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran, membuka pasaran baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memperkukuh hubungan ekonomi antara Sibu dengan Bintulu, Mukah, Kapit dan kawasan Lembangan Rajang.
Sibu mempunyai lebih 50 limbungan kapal yang memenuhi keperluan pasaran domestik dan antarabangsa. Industri pembinaan kapal itu menjadi antara kekuatan ekonomi sedia ada yang boleh dimanfaatkan untuk menarik pelaburan dalam sektor bernilai tambah lebih tinggi.
Abang Johari berkata, peningkatan hubungan jalan raya menerusi Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Utama Kedua Sarawak turut membuka ruang untuk mengembangkan potensi ekonomi Sarawak Tengah, yang selama ini banyak tertumpu di Kuching, Bintulu dan Miri.


PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan peruntukan awal RM1.5 bilion bagi penubuhan Zon Ekonomi Sibu pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu sebelum ini.
Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan agensi Persekutuan berkaitan bagi mendapatkan insentif khas serta menterjemahkan cadangan zon itu kepada perancangan dan pelaburan konkrit.
Sebuah jawatankuasa bersama juga akan ditubuhkan bagi menyelia pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Terdahulu, pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu, Abang Johari mengumumkan peruntukan awal RM1.5 bilion bagi mewujudkan Zon Ekonomi Sibu sebagai agensi pembangunan yang memberi tumpuan kepada pembangunan bandar secara menyeluruh.
Jelasnya, pendekatan itu mengambil kira keperluan khusus Sibu, termasuk faktor geografi serta cabaran saliran dan banjir, di samping potensi sektor perkhidmatan seperti pelancongan, kewangan, insurans dan perkhidmatan profesional.
Oleh Afiq Sallehi




